- Iklan -
Berita

Kumpulan pertama pekerja Indonesia sudah tiba di Malaysia, kata menteri

M Saravanan berkata dokumen membabitkan 23,000 lagi pekerja dari negara itu sedang diproses oleh pihak berkuasa negara ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja asing berehat seketika di sebuah tapak bina di Kuala Lumpur.
Pekerja asing berehat seketika di sebuah tapak bina di Kuala Lumpur.

Kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia telah bermula secara berperingkat selepas negara jiran itu memutuskan untuk menarik balik sekatan penghantaran pekerjanya ke negara ini, berkuat kuasa 1 Ogos lepas.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata kumpulan pertama pekerja Indonesia telah pun berada di Malaysia, manakala dokumen membabitkan 23,000 lagi pekerja dari negara itu sedang diproses oleh pihak berkuasa negara ini.

“Pekerja sudah mula masuk. Kumpulan pertama telah pun berada di sini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mynext, iaitu usaha memperkasakan bakat-bakat tempatan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp).

Pada 13 Julai lepas, Indonesia mengumumkan keputusannya untuk membekukan sementara kemasukan pekerja negara itu ke Malaysia kerana tidak menggunakan sistem tunggal seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, kedua-dua negara bersetuju untuk mengintegrasikan sistem sedia ada bagi pengambilan pekerja domestik antara Jabatan Imigresen Malaysia dan kedutaan Indonesia di sini.

Sementara itu, mengenai tenaga kerja Malaysia, Saravanan berkata isunya bukan pengangguran tetapi penempatan pekerjaan yang tidak sepadan.

“Walaupun kami mendapatkan mereka (siswazah) kerja, mereka tidak diberi pekerjaan dalam bidang pengajian mereka,” katanya.