- Iklan -
Berita

PM jamin siasatan kapal tempur telus, laporan akan didedahkan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata laporan jawatankuasa yang dipengerusikan bekas ketua audit negara akan dibenarkan disiarkan kepada umum.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan memberikan jaminan siasatan isu kapal tempur pesisir (LCS) akan dijalankan secara telus dan tidak akan melindungi individu yang terlibat.

Dalam sebuah kenyataan, Ismail berkata jemaah menteri turut menggesa pendakwaan dijalankan terhadap mereka yang terlibat sekiranya bukti kukuh diperolehi.

“Saya telah memanggil Peguam Negara, Idris Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki selepas mesyuarat jemaah menteri untuk segera bertindak selaras keputusan mesyuarat,” katanya.

Dalam pada itu Ismail juga berkata jemaah menteri juga memutuskan supaya laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satu pun kapal yang disiapkan. 

Menurut PAC, kontrak projek bernilai bernilai RM6.083 bilion itu diberikan secara rundingan terus kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd di mana lima kapal perlu disiapkan dan diserah bulan ini.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin turut menggesa sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat skandal terbaru tersebut.

“Saya menggesa Kabinet supaya mewujudkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM,” katanya.

Berhubung projek itu, Ismail bagaimanapun berkata kerajaan akan meneruskannya demi kepentingan pertahanan negara.

“Keputusan jemaah menteri hari ini tidak akan mengganggu proses mobilisasi di bawah pelan pemulihan LCS yang diputuskan jemaah menteri pada 20 April 2022.

“Kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).”