- Iklan -
Berita

Agong gesa rakyat sokong RUU kawalan produk tembakau

Sultan Abdullah berkata pelaksanakan RUU itu adalah usaha murni ia perlu dikaji dengan lebih mendalam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) menandatangani plak perasmian Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam hari ini sambil diperhatikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah) menandatangani plak perasmian Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam hari ini sambil diperhatikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan rasa bangga terhadap usaha kerajaan dalam menjamin dan memelihara kesihatan generasi akan datang, menerusi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen baru-baru ini. 

Sultan Abdullah berkata secara peribadi baginda merasakan perkara itu adalah satu usaha yang cukup murni, dan berharap seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan dan dokongan supaya RUU itu dapat dikaji dan diteliti.

“Baru-baru ini saya begitu bangga setelah mendapat maklum daripada kerajaan khususnya Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob), satu lagi RUU yang dibentang di Parlimen berkaitan kawalan tembakau dan rokok telah diputuskan untuk dikaji lebih mendalam,” titah baginda ketika merasmikan Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam hari ini. 

Turut berangkat ke majlis itu Permaisuri Agong Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan majlis turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan isteri Nori Abdullah.

Pada 2 Ogos lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul supaya Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang meletakikan sasaran untuk melahirkan generasi penamat rokok (GEG) bagi merokok menjelang tahun 2040, dirujuk ke jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

“Dari segi pelaksanaannya terpulang kepada pihak kerajaan untuk menentukan cara dan bila melaksanakannya. Jadi ini adalah satu usaha terbaik, bagi saya untuk menjaga kesihatan generasi akan datang lebih terpelihara dan terjamin, untuk mendapat satu tahap kesihatan yang lebih baik,” titah Seri Paduka.

Beliau berkata anak-anak muda perlu dididik untuk mengamalkan amalan-amalan terbaik agar perkara yang boleh menjejaskan kesihatan dapat dikurangkan, dan paling penting dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan di hospital-hospital dalam negara. 

Pada masa yang sama, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga kerja Kementerian Kesihatan yang memberi perkhidmatan terbaik sewaktu negara memerangi Covid-19. 

Sultan Abdullah turut mengucapkan tahniah kepada Khairy atas pelantikan beliau sebagai naib presiden bagi Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-75 yang secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada beliau dan Malaysia. 

Mengenai penubuhan Kompleks NIH, Yang di-Pertuan Agong bertitah ia merupakan satu lagi titik tolak penanda aras bagi masa hadapan untuk membawa soal-soal kesihatan ke tahap yang lebih baik demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat.