- Iklan -
Berita

Speaker tolak dakwaan Kit Siang berhubung 'kelewatan' laporan kapal tempur

Azhar Azizan Harun berkata pemimpin veteran DAP itu hanya perlu menghubungi pengerusi PAC untuk bertanya mengapa laporan tersebut tidak dibentang pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menafikan terdapat usaha untuk sengaja melewat-lewatkan pembentangan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu kelewatan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Beliau menjawab tuduhan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang mempersoalkan tarikh pembentangan laporan tersebut. 

Menurut Lim, kali terakhir PAC bermesyuarat mengenai kapal itu ialah pada 8 Mac lalu, sambil menambah jawatankuasa itu mempunyai 16 hari bagi membentangkan laporannya ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini. 

“Ada orang sengaja tangguhkan supaya laporan PAC berhubung skandal LCS tidak mendapat perhatian rakyat yang sewajarnya. Siapakah orang ini?" 

“Rakyat Malaysia perlukan penjelasan mengenai kelewatan pembentangannya. Bolehkah speaker menjelaskannya?" menurut Lim. 

Menurut Azhar, pengurusan Dewan Rakyat yang diketuai beliau dan setiausaha Dewan Rakyat tidak pernah menangguhkan pembentangan. 

"Kami membentangkan laporan sejurus selepas ia diberikan kepada kami oleh PAC. Kami tidak mencampuri urusan PAC atau urusan semua jawatankuasa Dewan Rakyat," katanya kepada MalaysiaNow.

Laporan PAC mengenai LCS dibentang di Dewan Rakyat pada 4 Ogos lalu. 

Ia mendedahkan sebanyak RM9 bilion diperuntukkan bagi perolehan LCS namun tiada satu pun kapal tersebut disiapkan. 

Sebelum ini, mesyuarat PAC berhubung LCS dijadualkan pada 18 Julai namun ia ditangguh sehingga 27 Julai ekoran pengerusinya, Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Wong dilaporkan positif Covid-19. 

Menurut Azhar, Lim sepatutnya menghubungi terus Wong yang juga rakan partinya dan bertanya sendiri mengapa laporan itu tidak dibentangkan lebih awal.

“Saya rasa pelik bagaimana Kit Siang tidak tahu langsung mengenainya. Sedangkan pengerusi PAC adalah dari DAP sendiri.

“Apa yang dia perlu buat hanya hubungi sahaja rakan partinya itu dan bertanya mengapa laporan tersebut tidak dibentang lebih awal daripada lempar tuduhan sedemikian.”

Bagaimanapun, setakat ini Wong tidak memberikan sebarang respons ketika dihubungi MalaysiaNow. 

Dalam pada itu, Azhar menambah, beliau tidak pernah mencampuri urusan PAC atau mana-mana badan Parlimen lain, malah berusaha keras dalam penubuhan 11 jawatankuasa pilihan khas yang disokong dana bagi menguruskan sekretariat masing-masing.

“Semua jawatankuasa ini berfungsi dengan menjalankan prosiding yang mengangkat semangat proses semak dan imbang.

“Maka sangat dikesalkan, seorang ahli Parlimen kanan boleh melemparkan tuduhan tidak berasas dan cuba membayangkan saya atau pengurusan Dewan Rakyat ‘menangguh-nangguhkan’ atau bersubahat dalam percubaan melewatkan pembentangan laporan PAC berhubung perolehan kapal tempur itu bagi mengelakkan penelitian mengenai laporannya," kata Azhar.