- Iklan -
Berita

Dr Mahathir umum Gerakan Tanah Air, tumpu lawan Umno

Bekas perdana menteri itu berkata gagasan politik itu akan melibatkan parti politik, ahli akademik, NGO dan individu profesional.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad bercakap dalam sebuah sidang media di Putrajaya bagi melancarkan Gerakan Tanah Air.
Dr Mahathir Mohamad bercakap dalam sebuah sidang media di Putrajaya bagi melancarkan Gerakan Tanah Air.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan satu gabungan baru ke dalam arena politik negara bersandarkan agenda Melayu-Islam dengan nama "Gerakan Tanah Air". 

Pengerusi Pejuang itu memberitahu gagasan politik itu hanya akan melibatkan ahli-ahli dalam kalangan orang Melayu meliputi parti politik, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli profesional perseorangan. 

"Kita ada menjemput orang Melayu sahaja bukan sebab perkauman tapi usaha kita tertumpu mahu lawan parti Melayu yang dah menyeleweng iaitu Umno.

"Kalau kita bukan parti Melayu maka orang Melayu tidak akan sokong. 

"Harapnya dapat sokongan daripada rakyat. Bukan sebagai ahli parti tapi lebih kepada mereka yang curiga kepada masa depan negara kita," katanya pada satu sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Mahathir berkata Gerakan Tanah Air sudah disertai empat parti politik berteraskan Melayu setakat ini, iaitu Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman.

Sebelum ini, media melaporkan Mahathir bakal menubuhkan sebuah gagasan baru bagi menyatupadukan semula kaum Melayu bagi menyelamatkan negara.

Kurangkan jurang kemiskinan orang Melayu

Dalam pada itu, Mahathir menegaskan Gerakan Tanah Air juga akan  berusaha mengurangkan jurang kemiskinan dalam kalangan orang Melayu yang kebanyakannya miskin.

Menurutnya, jurang kemiskinan orang Melayu di bandar dan kawasan luar bandar amat ketara dan perlu dibendung bagi mengelakkan ketidakseimbangan politik atau pemberontakan.

"Sebab Itu kita tubuhkan gerakan orang Melayu supaya mereka dapat selesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka dan usaha juga untuk dapatkan bahagian mereka dalam negara berbilang kaum ini."

Bagaimanapun, Mahathir menegaskan ia tidak bermaksud orang Melayu akan merampas hak orang bukan Melayu di negara ini.

Sebaliknya, sebagai satu usaha untuk memperbetulkan kedudukan orang Melayu di negara sendiri.

Mohon pertimbangan RoS, tanding PRU

Difahamkan, Gerakan Tanah Air dijangka menghantar dokumen pendaftaran dan perlembagaannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dalam masa terdekat.

Berhubung perkara itu, Mahathir berharap RoS bersikap ”murah hati" dalam mempertimbangkan permohonan yang akan dihantar.

Beliau turut berkata gerakan baru itu juga akan bertanding di 120 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun mereka menyasarkan kawasan-kawasan di semenanjung sahaja dan diyakini boleh menang jika bertanding.

Ketika ditanya adakah gerakan baru itu akan membuka penyertaan kepada parti politik Melayu yang lain, Mahathir menegaskan ia tidak akan terlibat dengan mana-mana pihak yang terpalit dengan isu rasuah dan kluster mahkamah, merujuk pimpinan Umno yang berdepan pertuduhan kes jenayah.

"Mereka yang bersama dengan kita tak ada kes rasuah," katanya.