- Iklan -
Berita

Dewan Rakyat dijangka bahas isu pemuliharaan Tasik Chini, akta data peribadi

Isu bantuan kepada pelajar universiti yang tercicir akibat Covid-19 turut menjadi agenda perbahasan hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Arca Tunku Abdul Rahman di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.
Arca Tunku Abdul Rahman di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Isu pemuliharaan Tasik Chini, Pahang dan jenayah pencerobohan data peribadi dijangka menjadi antara tumpuan pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan mengenai tindakan kerajaan bagi merawat dan memulih kembali kawasan Tasik Chini agar tidak dilucutkan status Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) diajukan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) kepada menteri tenaga dan sumber asli pada sesi pertanyaan menteri.

Turut tersenarai, soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang mahu menteri komunikasi dan multimedia menyatakan perancangan kementerian untuk meminda beberapa fasal dalam Akta Perlindungan Data Peribadi bagi menangani jenayah pencerobohan hampir 100 juta data peribadi.

Pada sesi soal jawab pula, Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) bertanyakan menteri komunikasi dan multimedia mengenai status pemberian tablet melalui program PerantiSiswa dan maklumat terkini jumlah tablet yang bakal diagihkan kepada pelajar daripada golongan B40.

Selain itu, soalan berhubung inisiatif kerajaan membantu mahasiswa yang tercicir dan tidak dapat meneruskan pengajian atau terpaksa menangguhkan pengajian akibat pandemik Covid-19 diajukan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) kepada menteri pengajian tinggi.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi pembentangan bacaan kali pertama bagi Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022  diikuti Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No 2) 2022.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 12 hari bermula 18 Julai lepas.