- Iklan -
Berita

Lambakan di pasaran, industri ternakan ayam tempatan berisiko lumpuh

Pemain industri gesa import ayam dihentikan dan tumpuan harus diberikan kepada penternak tempatan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan memilih ayam untuk dipotong peniaga di Pasar Keramat, Kuala Lumpur. Lambakan ayam di Malaysia ketika ini telah menyebabkan harga komoditi itu turun.
Seorang pelanggan memilih ayam untuk dipotong peniaga di Pasar Keramat, Kuala Lumpur. Lambakan ayam di Malaysia ketika ini telah menyebabkan harga komoditi itu turun.

Industri penternakan ayam tempatan berisiko lumpuh akibat lambakan ayam   berpunca daripada kemasukan ayam import dan penguatkuasaan larangan eksport komoditi itu ke Singapura, kata pemain industri.

Menurut Ishak Mat Arif daripada persatuan penternak ayam negeri Selangor, harga ayam merudum sehingga RM4.10 sekilo di ladang, namun pada masa yang sama, harga dedak masih terlalu tinggi sehingga mencecah RM140 untuk satu beg dedak.

"Apabila ayam import masuk ke pasaran dan eksport tidak dibenarkan, ini akan membunuh penternak tempatan.

“Percaturan yang silap akan menyebabkan penternak tutup reban dan gulung tikar," katanya kepada MalaysiaNow.

Situasi itu turut dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee yang menyatakan, tindakan menghapuskan permit import dan menutup eksport ke negara luar membolehkan pihak kerajaan menstabilkan bekalan ayam di ladang.

Lebihan ayam katanya mengakibatkan harga ayam turun berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan pada harga RM8.90 dan RM9.90 mengikut jenis ayam.

Sebelum ini, krisis bekalan ayam melanda negara apabila komoditi itu mencecah RM10 sekilo di kedai runcit.

Laporan media sebelum ini mendedahkan tindakan kartel ayam yang menyorokkan bekalan ayam untuk tujuan manipulasi harga.

Ia ditambah dengan krisis bijirin dan rantaian bekalan akibat perang Rusia dan Ukraine pada awal tahun lalu yang meningkatkan harga dedak ayam.

Sebelum ini, Ishak berkata harga satu beg dedak berada pada RM80.

Tambah Ishak, kerajaan digesa membuka semula pasaran eksport ke Singapura sekurang-kurangnya 50% daripada kapasiti sebelum ini.

Katanya, jika industri ternakan ayam tempatan musnah, ia bakal merugikan negara memandangkan ayam merupakan sumber protein utama rakyat berbanding ikan yang boleh mencecah RM20 sekilo.

Sementara itu Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn Bhd Mazlina Kamarudin berkata, pemborong masih menekan harga bahkan untuk ayam yang terlebih besar, ia hanya dijual pada harga RM3.80 sekilo.

Katanya, penternak ayam kini berusaha mengurangkan kemasukan anak ayam di ladang milik mereka.

Pemborong dan peniaga juga mengenakan caj tambahan apabila kerajaan mengenakan harga kawalan.

"Kos dan keuntungan penternak sebelum ini kira-kira RM7.00, tapi apabila turun sehingga RM3.80 sekilo untuk ayam besar, penternak alami kerugian.

“Kami terpaksa jual stok ini kerana jika tidak dia akan terus membesar," tambahnya.

Menurut Mazlina, Bismi mengambil tindakan menyembelih ayam dan memasukkan ke dalam bilik sejuk untuk disimpan.

Bagaimanapun, pihaknya terpaksa menghabiskan stok ayam besar pada harga rugi.

Situasi itu lebih malang bagi penternak yang tidak mempunyai bilik sejuk.

"Kalau ada harga siling, mesti ada harga lantai. Kalau harga lantai bermakna kalau ayam turun sehingga harga lantai, kerajaan perlu beli untuk dibuat stok penimbal.

"Sekarang ini ada lebihan, buat apa beli dari luar negara? Belilah daripada penternak tempatan," katanya.

Dalam pada itu, Ishak menjelaskan ayam yang terlalu besar tidak digemari oleh orang ramai.

Katanya, penternak terpaksa menjual meskipun pada harga rugi kerana kos akan bertambah sekiranya ayam terus dibela dalam reban, selain jumlah ayam mati turut dijangka meningkat.

Ishak dan Mazlina turut menggesa import ayam dihentikan serta-merta ekoran lambakan bekalan itu.

"Kitaran ayam kira-kira 35 hari. Apabila penternak kurangkan kemasukan ayam ke ladang, ayam akan menjadi kurang pada masa depan.

“Bagi industri ayam ini, ia tidak boleh diganggu. Ia adalah satu industri yang harus dibiarkan mengikut tawaran dan permintaan," kata Mazlina. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.