- Iklan -
Berita

KKM setuju kurangkan denda dalam RUU kawalan tembakau

Peruntukan bagi kesalahan pemilikan apa-apa produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga akan dipinda.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Kementerian Kesihatan akan membentangkan semula Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dalam masa terdekat. Gambar: Bernama
Kementerian Kesihatan akan membentangkan semula Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dalam masa terdekat. Gambar: Bernama

Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju meminda kuantum denda bagi kesalahan dilakukan generasi yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya atau dikenali Generasi Penamat (GEG) dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 kepada RM500 atau perintah khidmat masyarakat berbanding peruntukan asal sebanyak RM5,000.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata ia susulan perbincangan dan persetujuan serta kompromi secara bersama antara KKM dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen.

“Bagi memastikan akta yang berkuat kuasa selepas ini tidak dilihat bersifat punitif, kesalahan yang dilakukan golongan GEG hanya menetapkan denda maksimum RM500 atau khidmat masyarakat malah apa-apa kesalahan yang dilakukan golongan ini akan terlebih dahulu ditawarkan kompaun,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata KKM juga bersetuju melakukan pindaan dalam peringkat Jawatankuasa Dewan Rakyat untuk menghalang pemeriksaan badan dilakukan ke atas mana-mana individu yang belum mencapai usia 18 tahun.

Selain itu, katanya peruntukan bagi kesalahan pemilikan apa-apa produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga akan dipinda.