- Iklan -
Berita

RoS lulus permohonan Umno pinda perlembagaan tangguh pemilihan parti

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata beliau dimaklumkan oleh RoS mengenai perkara itu menerusi surat semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan Umno mendengar ucapan Umno di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur Mac lalu.
Perwakilan Umno mendengar ucapan Umno di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur Mac lalu.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan permohonan berkaitan perlembagaan Umno dengan sedikit pindaan, berkuat kuasa hari ini (29 Julai), menurut Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Ahmad berkata beliau menerima pemakluman itu menerusi surat daripada RoS semalam.

“RoS bersetuju kepada pindaan perlembagaan Umno supaya pemilihan Umno di semua peringkat diadakan tidak melebihi enam bulan selepas sesuatu pilihan raya umum (PRU) diadakan.

“RoS juga meminta supaya satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU, bermakna pemilihan Umno untuk penggal ini hanya akan dibuat tidak lewat daripada enam bulan selepas PRU15 diadakan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook serta Twitter beliau hari ini.

Ahmad bagi pihak Umno merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada RoS dan semua pihak yang terlibat, dalam meluluskan pindaan perlembagaan Umno.

Pada Mei lepas, Umno meluluskan pindaan perlembagaan parti yang membolehkan pemilihan parti diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas PRU, untuk memberi ruang kepada ahli memfokus kepada gerak kerja pilihan raya. Notis pindaan perlembagaan itu dikemukakan kepada RoS pada 17 Mei.

Pada 7 Julai lepas, RoS dilaporkan memaklumkan keputusan berhubung permohonan pindaan perlembagaan Umno akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai.

Umno sebelum ini menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Jika dihitung, tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan Umno penggal 2021/2023 perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.