- Iklan -
Berita

Selangor digesa jelaskan pelaburan RM10 juta kepada syarikat penyedia e-wallet

Adun Gombak Setia Hilman Idham mahu kerajaan negeri menjelaskan kewajaran menyuntik jutaan ringgit kepada sebuah syarikat berdepan kerugian.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi

Kerajaan negeri Selangor digesa menjelaskan pelaburan ke dalam sebuah syarikat tempatan yang berdepan kerugian terkumpul sebanyak RM4.7 juta untuk projek e-wallet di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, syarikat yang dimaksudkan itu, WavPay System Sdn Bhd merupakan syarikat dengan modal tunai RM200,000.

"Di manakah justifikasi pelaburan yang munasabah untuk kerajaan negeri menyuntik RM10 juta kepada syarikat yang tidak mempunyai aset malah tidak mempunyai pendapatan?

"Lebih memeranjatkan, melalui pelaburan yang begini besar, kerajaan negeri hanya mendapat pegangan 49% dan mungkin beberapa golden share," katanya ketika perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Incorporated) membuat pembelian sebanyak RM10 juta untuk pegangan ekuiti sebanyak 49%. 

Ia merupakan usaha membangunkan infrastruktur digital yang merupakan satu agenda daripada Rancangan Selangor Satu yang diperkenalkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari baru-baru ini.

Menurut semakan oleh Hilman, syarikat itu mencatatkan kerugian bernilai RM1.9 untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, manakala kerugian terkumpul sejak 2017 bernilai lebih RM4.7 juta.

Syarikat itu dijangka membangunkan perkhidmatan e-wallet sebagai gerbang pembayaran untuk urusan kerajaan negeri, jabatan dan agensi kerajaan negeri. 

Meskipun jumlah pelaburan yang besar, Hilman berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kawalan terhadap pengurusan, aset dan data-data milikan syarikat tanpa pegangan majoriti saham.

"Laporan 'due diligence' yang dilakukan oleh konsultan dan pegawai kerajaan negeri pasti menunjukkan kesenjangan nilai yang ketara di antara jumlah pelaburan dan kedudukan kewangan syarikat.

"Apakah kerajaan negeri meragui kemampuan dan kapasiti anak-anak syarikat seperti Selgate Corporation yang  merupakan pemilik kepada aplikasi Selangkah untuk menerajui projek e-wallet Selangor ini?" soal Hilman.

Rancangan Selangor Satu yang merupakan pelan lima tahun kerajaan negeri itu diambil mengikut jejak langkah Rancangan Malaysia yang merupakan sebuah pelan perancangan dan pembangunan untuk tempoh lima tahun.