- Iklan -
Berita

Di bawah pindaan Perlembagaan, ahli Parlimen lompat parti akan hilang kerusi, kata PM

Bagaimanapun, ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusi jika dipecat atau parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RUU anti lompat parti di Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RUU anti lompat parti di Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama

Seseorang  ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti atau lebih sinonim dengan istilah "lompat parti".

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini. 

Pindaan Perlembagaan yang digubal itu mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu.

“Fasal baharu 4 bertujuan untuk memasukkan perkara baru 49A ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memperuntukkan bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang Dipertua Dewan,” kata Ismail.

Beliau berkata perkara sama turut terpakai kepada ahli Parlimen Bebas yang setelah dipilih ke Dewan Rakyat menyertai suatu parti politik.

“Mana-mana ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi,” katanya.

Ismail berkata bagaimanapun seseorang ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Rang undang-undang itu juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mereka yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen.

“Fasal baharu 3 bertujuan untuk memotong Fasal (6) Perkara 48. Pemotongan ini akan membolehkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya untuk bertanding semula pada bila-bila masa selepas dia melepaskan keahliannya dalam Dewan Rakyat dan dengan demikian kehilangan kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai,” katanya.

Ismail berkata turut dimasukkan dalam rang undang-undang itu ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong, boleh dengan kebenaran ketua negeri untuk menjadikan undang-undang ini terpakai di peringkat negeri menerusi pewartaan.