- Iklan -
Berita

Sukar bagi PAS pertahan Kedah tanpa Bersatu, kata penganalisis

Bagaimanapun, pengaruh PAS terhadap pengundi Melayu mungkin akan terus memberi kelebihan kepada mereka.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden PAS Abdul Hadi Awang (kedua dari kiri) bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (kedua dari kanan) pada sidang media sewaktu Pilihan Raya Negeri Johor awal tahun ini.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang (kedua dari kiri) bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin (kedua dari kanan) pada sidang media sewaktu Pilihan Raya Negeri Johor awal tahun ini.

Seorang penganalisis politik berkata tidak mudah bagi PAS untuk menang di Kedah secara bersendirian tanpa sekutunya dari Perikatan Nasional (PN) terutamanya Bersatu yang berjaya memikat undi kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum sebelum ini, ketika mengulas kenyataan pemimpin parti Islam itu yang mahu memerintah tanpa “menumpang” kerajaan campuran. 

Ini susulan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang minggu lalu yang mahu parti tersebut memerintah secara bersendirian di Kedah tanpa "menumpang" kerajaan campuran. 

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, kenyataan Hadi mungkin dibuat bersandarkan kepada pola pengundian yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Atas sebab itu, Hadi menjangkakan sekiranya trend tersebut dibawa ke negeri -negeri naungan PAS seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, ianya berupaya mengukuhkan lagi kedudukan parti Islam itu di negeri-negeri tersebut. 

Bagaimanapun, menurut Hisommudin, trend sokongan tambahan kepada PAS itu dibawa oleh Bersatu di bawah gabungan dan logo PN. 

"Tapi, kalau bertanding solo, tidak semudah itu. Tidak semudah itu," katanya kepada MalaysiaNow. 

Dalam satu sesi amanat khas presiden PAS dan taklimat kerajaan Kedah pada Ahad, Hadi menegaskan parti itu sudah mempunyai jentera mencukupi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan para jentera perlu bijak menarik perhatian para pengundi di Kedah. 

Hisommudin menegaskan PAS perlu ingat keadaan PRU sangat berbeza dengan PRN. 

Katanya, PAS perlu mengambil kira beberapa faktor dan pola yang berada di luar kawalan parti. 

Pertama, katanya, populariti kerajaan dalam urus tadbir negeri Kedah. 

Sebagai contoh, isu banjir di Baling dan  Gunung Jerai baru-baru ini serta perkhidmatan air yang kurang memuaskan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan negeri. 

Antara faktor lain, katanya, kebangkitan semula keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN).

"Sejauh mana undi yang dibawa oleh PN walaupun nampak di atas kertas seakan-akan BN tidak kuat tetapi saya tidak menolak sekiranya arus penolakan datang dari bawah, BN akan mendapat manfaat daripada limpahan ketidakpuasaan hati itu. 

"Ia akan menjurus kepada (pilihan) alternatifnya iaitu BN bukannya, PH.”

Selain itu, PAS juga perlu menilai kepada faktor pengundi di luar lokaliti iaitu para pengundi yang berhijrah dan menetap di luar Kedah. 

"Pola pengundian bagi pengundi yang berada di luar lokaliti pada kali ini bagaimana pula?" 

Tambah Hisommudin, PAS tidak boleh ambil mudah terhadap golongan pengundi tersebut kerana mereka berupaya membuat perubahan dan trend pengundian mereka mungkin tidak sama dengan para pengundi yang berada di dalam negeri. 

"Tetapi, logiknya, Hadi yakin kerana limpahan sokongan itu kalau berterusan seperti pola yang berlaku di Melaka dan Johor, sokongan PAS meningkat. 

"Maka, negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, PAS boleh bertahan," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali menyifatkan kenyataan Hadi sebagai sesuatu yang tidak mustahil memandangkan PAS sudah sekian lama mendapat sokongan padu orang Melayu di Kedah. 

Katanya, PAS juga boleh menang dengan mudah di Kedah sekiranya pertandingan lebih daripada tiga penjuru. 

"Ianya mungkin memberi kelebihan kepada PAS untuk kerusi-kerusi tertentu di kawasan-kawasan luar bandar khususnya. 

"Ianya akan beri kelebihan kepada PAS," katanya. 

Kerajaan PAS Kedah di bawah pentadbiran Muhammad Sanusi Md Nor memiliki 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengetuai kerajaan PN di Kedah bersama Bersatu yang mempunyai enam kerusi dan Umno sebanyak dua kerusi. 

Pembangkang (PH) pula mempunyai 13 kerusi DUN iaitu lima dimiliki PKR, empat dari Amanah, dua dari DAP dan dua dari Pejuang.