- Iklan -
Berita

Hisyam Teh ganti Shafee sebagai peguam utama Najib dalam kes SRC

Ia dimaklumkan firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners melalui surat kepada pejabat timbalan pendaftar mahkamah hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Hisyam Teh Poh Teik. Gambar: Bernama
Peguam Hisyam Teh Poh Teik. Gambar: Bernama

Hisyam Teh Poh Teik kini dilantik sebagai peguam utama mewakili Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd  yang akan didengar di Mahkamah Persekutuan, bulan depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) melalui surat yang dialamatkan kepada pejabat timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini.

Surat berkenaan, diperoleh media, ditandatangani rakan kongsi kanan ZIST, Liew Teck Huat, memaklumkan bekas perdana menteri itu melantik Hisyam sebagai peguam utama, Liew dan M Rueben sebagai peguam bersama dalam kes SRC.

Surat berkenaan turut memaklumkan barisan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah tidak lagi mewakili Najib dalam kes rayuan akhir itu.

Shafee mewakili Najib dalam kes SRC sejak ahli Parlimen Pekan itu dituduh di mahkamah pada 4 Julai 2018.

Selaras dengan penukaran peguam cara, Liew memohon mahkamah satu tarikh sebutan dan pengurusan kes ditetapkan pada atau sebelum 29 Julai ini kerana firma itu mendapat arahan daripada Najib untuk menarik balik rayuan yang difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan kemasukan Peguam Diraja dari United Kingdom (UK), Jonathan James Laidlaw.

Selain itu, ZIST juga mendapat arahan daripada Najib untuk berhujah di mahkamah berkenaan dengan penangguhan notis usul yang difailkan pada 7 Jun lepas dan rayuan utama yang ditetapkan pada 15 Ogos atas sebab bahawa satu barisan baharu telah mengambil alih pengendalian perkara itu.

Pada 21 Julai lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir beliau terhadap sabitan berkaitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada Mei lepas, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos ini untuk mendengar rayuan akhir Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Najib atas tujuh pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.