- Iklan -
Berita

Ringgit dibuka kukuh menjelang pengumuman kadar faedah di AS

Ringgit Malaysia menambah nilai kepada 4.4510/4535 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat lepas pada paras 4.4515/4545.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Wang kertas Ringgit Malaysia.
Wang kertas Ringgit Malaysia.

Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat hari ini berikutan minat belian baru, menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada 27 hingga 28 Julai, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4510/4535 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat lepas pada paras 4.4515/4545.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mesyuarat itu akan menjadi perhatian utama kerana Fed dijangka menaikkan kadar faedah antara 75 dan 100 mata asas.

"Harapan untuk perubahan dalam taktik mereka mungkin agak jauh. Namun begitu kemungkinan sentiasa ada terutamanya apabila terdapat tanda-tanda kelembapan ekonomi berdasarkan bacaan awal dalam Indeks Pengurus Pembelian yang jatuh baru-baru ini," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata, ringgit dijangka lemah minggu ini.

Walaupun mata wang tempatan dibuka lebih kukuh berbanding dolar AS, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.2019/2042 daripada 3.2011/2038 pada penutup Jumaat dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.3243/3273 daripada 5.3187/3222 sebelumnya.