- Iklan -
Berita

Pengarah anak syarikat Capital A ditahan dalam siasatan rasuah RM24 juta

Wanita itu merupakan salah seorang daripada empat individu yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Sabah Development Bank di Kota Kinabalu, Sabah.
Bangunan Sabah Development Bank di Kota Kinabalu, Sabah.

Seorang pengarah anak syarikat Capital A Bhd ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah RM24 juta yang dikaitkan dengan pinjaman oleh bank Sabah, selepas baru tiga bulan dilantik menganggotai lembaga pengarah syarikat penerbangan yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia.

MalaysiaNow kini boleh mengesahkan wanita berusia 50-an itu adalah antara empat individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Badan anti rasuah itu turut bertindak membekukan lebih 20 akaun bank sebagai sebahagian daripada siasatan.

Wanita tersebut ialah ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengurusan dana yang dimiliki Sabah Development Bank (SDB), syarikat milik penuh kerajaan negeri.

Bekas CEO SDB juga antara empat yang ditahan reman.

Kes tersebut dipercayai tertumpu kepada rasuah sebanyak RM24 juta sebagai balasan untuk SDB meluluskan pinjaman berjumlah RM294 juta kepada sebuah firma rundingan tenaga kira-kira sedekad lalu.

Ketika dihubungi, sumber SPRM mengesahkan siasatan sedang dijalankan namun enggan mendedahkan butirannya.
 
Ini bukan kali pertama SDB disiasat SPRM.

Dua tahun lalu, badan anti rasuah negara itu melancarkan siasatan berhubung pinjaman RM300 juta kepada AirAsia di mana ia diluluskan ketika pandemik Covid-19 dan kerajaan negeri masih diterajui Warisan.

MalaysiaNow turut difahamkan tangkapan terbaru itu tidak mempunyai kaitan dengan siasatan pada 2020 yang berkait pinjaman kepada syarikat penerbangan yang dihimpit masalah kewangan tersebut.

Ketika itu, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal turut mempertahankan keputusan SDB dalam meluluskan pinjaman tersebut.

Tidak lama selepas Hajiji Noor mengambil alih tugas daripada Shafie sebagai ketua menteri Sabah, beliau dilaporkan mengkritik pinjaman SDB kepada AirAsia itu, yang dilihat selari dengan siasatan SPRM.

Bagaimanapun, SDB mendakwa siasatan SPRM tidak menemui sebarang bukti salah laku di pihak bank dalam keputusan pemberian pinjaman itu.