- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak permohonan peguam diraja UK untuk wakili Najib dalam rayuan

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata permohonan ditolak kerana tiada isu kompleks dan baru yang memerlukan kemasukan Jonathan James Laidlaw bagi mengendalikan rayuan tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan peguam diraja dari United Kingdom (UK) Jonathan James Laidlaw untuk mewakili Najib Razak dalam rayuan terakhir beliau terhadap sabitan berkaitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan bahawa Laidlaw gagal membuktikan bahawa beliau memiliki kelayakan khas dan pengalaman untuk mengendali rayuan atau pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri itu yang membabitkan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Saya berpendapat fakta bahawa Laidlaw telah mengendali beberapa kes membabitkan jenayah perniagaan dan perkhidmatan kewangan, pembelaan jenayah, kawal selia jenayah, inkues dan inkuiri awam, pendakwaan peribadi, undang-undang sukan serta disiplin profesional di UK dan negara lain (kecuali Malaysia) tidak boleh dikatakan bermaksud bahawa tiada peguam tempatan di Malaysia yang tidak memiliki kepakaran serta kejayaan serupa dalam mengendali perbicaraan berkaitan pertuduhan di bawah AMLATFPUAA, Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

“Saya dapati tiada sebarang keterangan yang mencadangkan bahawa Laidlaw memiliki lebih banyak pengalaman berbanding peguam bela dan peguam cara tempatan di Malaysia. Saya berpandangan bahawa peguam bela tempatan mampu mengendalikan kes sedemikian di semua peringkat mahkamah di Malaysia. Hal ini tidak mewajarkan Laidlaw diterima masuk secara ad hoc sebagai peguam utama bagi mengendalikan rayuan di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Beliau juga berkata permohonan itu harus ditolak kerana tiada isu kompleks dan baru yang memerlukan kemasukan (sementara) Laidlaw bagi mengendalikan rayuan tersebut.

“Pemohon (Laidlaw) gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 18(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976) bahawa bagi rayuan SRC dan kes lain yang berkaitan, beliau memiliki kelayakan khas atau pengalaman yang tidak terdapat dalam kalangan peguam bela dan peguam cara di Malaysia.

“Saya bersetuju dengan hujah Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Majlis Peguam Kuala Lumpur bahawa rayuan itu boleh dikendalikan dengan cekap oleh peguam bela dan peguam cara tempatan,” kata hakim itu melalui aplikasi Zoom. 

Kamal berkata Laidlaw juga tidak membuktikan bahawa peguam bela dan peguam cara tempatan tidak memiliki kemampuan atau kelayakan khas bagi mengendali rayuan itu. 

“Memang tidak dinafikan bahawa Laidlaw dianggap sebagai ‘individu dengan kepakaran yang menyerlah dalam jenayah kewangan’ namun bagi saya, perkara itu sahaja tidak mencukupi untuk disifatkan sebagai memiliki kemahiran, kepakaran, kelayakan dan pengetahuan khas mengenai pemakaian Akta SPRM 2009 serta AMLATFPUAA 2001, Kanun Keseksaan serta Perlembagaan Persekutuan kita yang tersendiri yang relevan dengan rayuan di hadapan Mahkamah Persekutuan bulan depan,” katanya.

Pada 31 Mei lepas, Najib memfailkan permohonan agar peguam diraja itu dibenar mewakili beliau dalam kes rayuan  SRC atas beberapa alasan antaranya Laidlaw memiliki kelayakan khas, pengalaman dan kepakaran yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di Malaysia.

Pada 29 April, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari dalam bulan Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara terhadapnya bagi kesalahan menyeleweng dana syarikat itu.