- Iklan -
Berita

Mahathir mahu Apandi disiasat berhubung peranannya dalam rundingan Jho Low

Beliau berkata tindakan Apandi bersekongkol dengan Jho Low 'amat mencurigakan' dan yakin Apandi tidak melakukan kerja sebagai 'orang tengah' itu secara percuma.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad menghalakan serangan terhadap bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali berikutan pendedahan beliau mewakili Low Taek Jho dalam percubaan terbaru ahli perniagaan dalam buruan itu mencapai penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.

Bekas perdana menteri yang menamatkan perkhidmatan Apandi sebagai peguam negara sejurus selepas pilihan raya umum pada 2018, turut menggesa siasatan dilakukan berhubung sebarang kaitannya dengan dengan Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

"Kerajaan hari ini bertanggungjawab untuk menyiasat kerana terdapat unsur kolusi (collusion) dan subahat (complicity) Apandi di dalam jenayah 1MDB untuk memastikan penyamun-penyamun negara yang terbabit di dalam jenayah terancang ini diadili dan dihukum,” kata Mahathir.

Mahathir berkata tindakan Apandi yang “sanggup bersekongkol dengan Jho Low amat mencurigakan”, sambil menambah beliau yakin Apandi tidak melakukan kerja “orang tengah” itu secara percuma.

"Di sini timbul kecurigaan bahawa kerjasama Apandi dengan Jho Low telah bermula semasa dia peguam negara," kata Mahathir.

Ketika dihubungi, Apandi enggan mengulas perkara itu namun memberikan jawapan pendek.

“Saya tahu MalaysiaNow ini siapa punya. Kirim salam saya kepada dia,” dan menambah: “Jadi, tolong hentikan usaha nak pancing-pancing jawapan. Terima kasih.”

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.

Pada 14 Julai, MalaysiaNow melaporkan Low gagal dalam usahanya berunding dengan Putrajaya di mana membolehkan beliau pergi ke Amerika Syarikat bagi menyelesaikan kes yang dihadapinya.

Apandi kemudiannya menjelaskan kepada MalaysiaNow peranannya dalam rundingan tersebut adalah sebagai fasilitator di mana beliau di mana beliau mengatur pertemuan melibatkan firma guaman Kobre & Kim yang mewakili Low, dengan Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Tujuan mesyuarat itu adalah untuk membincangkan penghantaran pulang wang yang didakwa telah diselewengkan oleh Jho Low dari 1MDB.

"Selepas mesyuarat tersebut, yang pada waktu itu kelihatan positif, namun kemudiannya telah dibatalkan oleh AGC secara tiba-tiba, atas sebab yang hanya diketahui oleh mereka," kata Apandi.

Mahathir berkata Apandi sepatutnya menyesal atas tindakannya membersihkan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam skandal itu.

“Sepatutnya Apandi merasa bersalah dan menyesal kerana pendiriannya menyekat jenayah 1MDB dari dihadap ke mahkamah.
 
"Sekarang, dia sanggup menjadi orang tengah untuk Jho Low mendapat penyelesaian dan diberitakan dengan membayar kerajaan Malaysia RM1.5 billion. Ini bermakna Jho Low bersalah. Jika tidak bersalah kenapa menawar wang untuk menyelesaikan tindakan terhadapnya?” kata Mahathir.

Pada 2016, Apandi mengambil tindakan kontroversi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB dan mengumumkan tiada pertuduhan akan dibuat terhadapnya.

Namun siasatan berhubung 1MDB dimulakan semula selepas pentadbiran Najib dijatuhkan dan beliau kemudiannya disabitkan kesalahan dan dihukum 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta dalam salah satu pertuduhan melibatkan skandal yang mencetuskan siasatan di beberapa buah negara.