- Iklan -
Berita

Apandi jelaskan peranannya dalam rundingan Jho Low

Beliau berkata peranannya hanyalah sebagai fasilitator kepada rundingan tersebut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali hari ini cuba menjelaskan peranannya dalam rundingan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dengan kerajaan berhubung tawaran untuk menyelesaikan dakwaan berkait 1MDB.

Dalam jawapan ringkasnya kepada MalaysiaNow beliau berkata peranannya hanyalah sebagai fasilitator kepada rundingan tersebut.

“Ya,” katanya apabila ditanya tentang perkara itu.

Dalam kenyataan yang berasingan, Apandi berkata beliau didekati oleh pihak Kobre & Kim yang berpengkalan di Washington DC, Amerika Syarikat untuk berjumpa dengan Pejabat Peguam Negara pada penghujung Mei 2022.

"Saya mengaturkan beberapa pertemuan yang mana wakil Kobre & Kim datang ke Malaysia,” katanya.

"Pada mesyuarat itu, yang berlangsung di Pejabat Peguam Negara, kerajaan Malaysia diwakili oleh AG (Idris Harun) and pegawanya, serta seorang pegawai kanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

Menurut Apandi, rundingan itu kelihatan positif semasa sedang berlangsung namun dibatalkan oleh Pejabat Peguam Negara secara tiba-tiba. 

Portal The Edge melaporkan Low yang merupakan figura tumpuan dalam skandal 1MDB semasa pentadbiran Najib Razak, menawarkan kira-kira RM1.5 bilion bagi menyelesaikan kesnya. 

Sebelum ini Apandi berkata kepada MalaysiaNow bahawa maklumat pertemuan tersebut adalah sulit. 

Keberadaan Low yang dikenali sebagai Jho Low masih tidak diketahui namun waran tangkap terhadapnya dikeluarkan oleh SPRM. 

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa Low mengambil berbilion wang daripada 1MDB.

Sementara itu AGC mengesahkan Low melalui wakilnya cuba berunding dengan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian tahun ini.

“Dalam percubaan ini, wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi kerajaan Malaysia termasuk AGC.

“Kesemua tawaran penyelesaian daripada wakil Jho Low telah ditolak oleh AGC,” kata AGC dalam satu kenyataan.