- Iklan -
Berita

SPRM tidak pernah salah guna kuasa kenakan Syed Saddiq, kata saksi

Pegawai SPRM Muhamad Khairi Muhamad Rodi turut menafikan pihaknya sengaja 'mencari kes' terhadap ahli Parlimen Muar itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa agensi tersebut tidak pernah menyalahgunakan kuasanya untuk mengenakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung siasatan kehilangan wang berjumlah RM250,000 di kediaman ahli Parlimen Muar itu.

Muhamad Khairi Muhamad Rodi, 33, berkata sebaliknya siasatan dijalankan bagi mencari sumber wang yang dilaporkan hilang selain untuk mengetahui sama ada terdapat kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata sebarang aduan dan maklumat yang diterima oleh SPRM akan disiasat terlebih dahulu dan oleh yang demikian, tiada seksyen spesifik di bawah Akta SPRM diletak ketika aduan dibuat.

"Saya tidak setuju siasatan ini adalah untuk kenakan YB Syed Saddiq kerana apa jua aduan dan maklumat yang diterima, kami akan teruskan dengan siasatan. Jadi, tiada siasatan terpilih atau siasatan untuk mengenakan orang di dalam kes ini. 

"Saya pergi ke rumah YB Syed Saddiq untuk mendapatkan dokumen atau maklumat yang boleh membantu siasatan saya ketika itu," katanya ketika pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Khairi berkata beliau serta beberapa pegawai SPRM telah ke rumah ahli politik tersebut pada 5.45 petang 31 Mac 2020 untuk menjalankan siasatan dan ketika itu, Syed Saddiq serta ibu bapanya berada di rumah.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo, saksi itu menafikan bahawa beliau sengaja "mencari kes" terhadap Syed Saddiq sedangkan tiada kes terhadap ahli politik tersebut.

Kepada soalan lain, beliau berkata aduan yang dibuka terhadap Syed Saddiq di bawah Akta SPRM 2009 adalah secara am namun siasatannya menjurus kepada Seksyen 27 Akta SPRM 2009 iaitu berkaitan laporan palsu.

"Sebanyak tiga kertas siasatan dibuka melibatkan kes Syed Saddiq dan satu daripada siasatan itu (kehilangan wang RM250,000) saya kendalikan," katanya sambil menambah setiap siasatan yang dilakukan adalah berdasarkan arahan pegawai atasan dan perlu dilaporkan kepada pihak atasan.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu penolong bendahari Pemuda Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid bersambung esok.