- Iklan -
Berita

Kerajaan perlu segerakan pelaksanaan projek, perjanjian perdagangan hadapi stagflasi dunia

Walaupun ekonomi Malaysia masih dianggap kukuh, pemain industri berkata langkah wajar perlu diambil dalam berdepan kemelesetan ekonomi dunia.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.
Pemandangan dari udara pusat bandar Kuala Lumpur.

Ketika dunia sedang mengalami inflasi berkaitan barangan makanan dan bahan mentah ketika ini, kebanyakan negara dijangka berdepan masalah kemelesetan ekonomi dan keadaan stagflasi selepas pertumbuhan ekonomi dunia dijangka perlahan sebelum hujung tahun 2022.

Stagflasi merujuk kepada situasi yang mana ekonomi sedang mengalami inflasi, kemelesetan dan pengangguran yang tinggi pada masa yang sama. 

Laporan Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan dunia akan menurun dari 5.7% pada 2021 kepada 2.9% tahun ini. 

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pula menyatakan Malaysia tidak berdepan dengan risiko kemelesetan namun terkesan dengan risiko akibat daripada peperangan di Ukraine, peningkatan harga komoditi dan dasar monetari global yang semakin ketat. 

Malaysia katanya perlu mengurangkan defisit fiskal dariapda 6.4% tahun lalu kepada 6% tahun ini, selain mengkaji semula subsidi pukal. 

Pakar ekonomi dari Putra Business School, Ahmed Razman Abd Latiff berkata, kerajaan dan Bank Negara Malaysia masih mengekalkan jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK)

"Kekuatan Malaysia terletak pada fundamental ekonominya yang kukuh di mana kita menyaksikan volum eksport masih meningkat setiap bulan, menghasilkan akaun semasa dan imbangan perdagangan yang positif, kadar pengangguran yang semakin menurun kepada 3.9% dan kadar inflasi yang masih rendah iaitu 2.8%,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Selain itu indeks pengeluaran industri yang meningkat 4.1% pada bulan Mei menyaksikan pengeluaran barangan elektrik dan elektronik meningkat 15.5%.”

Bagaimanapun, bagi Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Soh Thian Lai pengilang ketika ini sudah pun berdepan cabaran dalam operasi akibat kenaikan harga barangan import akibat daripada beberapa faktor. 

"Pengeksport sedang bersaing untuk mendapatkan kontena daripada perkhidmatan perkapalan sedia ada pada kadar premium. 

“Mereka  berdepan keputusan sukar sama ada untuk menghantar dan menanggung kos eksport yang tinggi atau tidak menghantar dan kehilangan pasaran eksport mereka. 

"Pengilang juga mengalami kerugian daripada eksport pendapatan kerana kadar pengangkutan yang tinggi memaksa pembeli asing menangguhkan pesanan mereka dengan harapan kos penghantaran akan berkurangan dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

Justeru, bagi mengurangkan tekanan akibat kemelesetan, FMM menggesa kerajaan untuk merangsang ekonomi dengan mempercepat projek pembangunan dan infrastruktur, selain meningkatkan penggunaan menerusi kempen "Beli Barangan Buatan Malaysia."

Kempen itu katanya boleh bermula dengan perolehan kerajaan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memberi galakan dan insentif untuk menggantikan barangan import serta penggunaan automasi dan teknologi untuk produk yang mempunyai nilai tambah. 

"Mempercepatkan perjanjian perdagangan bebas untuk membuka peluang eksport sewajarnya menjadi satu lagi fokus kerajaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman berkata, pertumbuhan KDNK global yang perlahan sememangnya menjejaskan pertumbuhan Malaysia, selain konflik di Ukraine, gangguan rantaian bekalan dan risiko peningkatan jangkitan Covid-19. 

Katanya, syarikat-syarikat di Malaysia tidak boleh terus berada di takuk lama dengan model perniagaan tradisional dan tindakan pengagihan modal.

Katanya, campur tangan kerajaan perlu menumpukan kepada cabaran jangka masa pendek, menyokong kecairan (liquidity) jangka masa pendek dan ketersediaan dana terutama kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana, selain menyediakan ekosistem untuk syarikat menampung diri sendiri. 

"Amat penting untuk menarik pelaburan asing (FDI) yang bernilai tinggi dan berkualiti bagi meningkatkan pertumbuhan KDNK serta menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik. 

"Ini kerana Malaysia merekodkan penurunan FDI untuk tiga tahun berturut-turut. 

"Pelabur memutuskan untuk melaburkan di negara-negara jiran, dan ini memberi kesan kepada ekonomi dan peluang pekerjaan di Malaysia," katanya.

Syed Hussain turut bersetuju dengan gesaan meningkatkan digitalisasi dan penggunaan teknologi baru dalam proses perniagaan. 

Katanya,  kerajaan perlu mengkaji dan memudahkan bantuan kewangan kepada kira-kira 650,000 perusahaan mikro, ekoran syarat-syarat yang agak ketat kini dikenakan kepada mereka. 

Berhubung masalah stagflasi, katanya berdasarkan data pertumbuhan KDNK negara, situasi itu sukar untuk terjadi di Malaysia buat masa ini. 

Malaysia pada tahun 70-an pernah mengalami keadaan itu akibat kadar inflasi sehingga dua digit, selain kemelesetan ekonomi. 

Razman pula berkata, kadar penggangguran sukar meningkat kerana masih banyak industri yang memerlukan pekerja. 

Selain kebimbangan pihak industri dan majikan, Razman menegaskan golongan rentan dan B40 yang masih memerlukan bantuan tidak boleh dilupakan. 

"Semua ini harus diteruskan dalam Bajet 2023, di samping berterusan meneroka sumber ekonomi baru, memperluaskan pasaran, memperkasakan modal insan dan menyediakan infrastruktur dan kemudahan untuk rakyat yang memerlukan," katanya.