- Iklan -
Berita

DUN Kedah lulus RUU pinda had umur berkahwin bagi perempuan kepada 18 tahun

DUN Kedah turut meluluskan hukuman penjara terhadap poligami tanpa kebenaran mahkamah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sebelum ini, had umur perkahwinan di Kedah adalah 16 tahun di mana ia adalah usia remaja yang masih bersekolah.
Sebelum ini, had umur perkahwinan di Kedah adalah 16 tahun di mana ia adalah usia remaja yang masih bersekolah.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2022 berkaitan had umur perkahwinan dan undang-undang poligami.

Speaker DUN Kedah Juhari Bulat berkata pindaan enakmen itu melibatkan umur perkahwinan bagi perempuan dari 16 tahun kepada 18 tahun serta hukuman poligami tanpa kebenaran mahkamah iaitu dipenjara setahun atau denda RM3,000 berbanding enam bulan penjara atau denda RM1,000 sebelum ini.

"Kalau nak kahwin juga ada masalah apa pun boleh mohon melalui mahkamah, jika mahkamah mendapati calon itu perlu sangat dibenarkan walaupun dia umur 16 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran mahkamah, kalau tanpa kebenaran mahkamah kena denda," katanya kepada pemberita selepas persidangan DUN itu di Wisma Darul Aman hari ini.

Dalam pada itu, Juhari berkata beliau menolak usul tergempar berkaitan isu banjir dan fenomena kepala air di Baling dan Yan yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor Ismail Salleh daripada Amanah hari ini atas faktor tidak mengikut peraturan Dewan.

Beliau berkata notis berkaitan usul itu diberikan dalam tempoh yang terlalu singkat iaitu semalam sekali gus tidak mengikut peraturan tempoh 14 hari bagi usul biasa manakala usul tergempar dan penting memerlukan masa tujuh hari ataupun sehari dengan kebenaran Menteri Besar Kedah.

"Jadi tidak bolehlah kita nak buat usul persendirian itu memerlukan tempoh seperti yang saya sebutkan tadi tetapi kalau mahu bekerjasama dengan pejabat Menteri Besar bolehlah dikemukakan usul tergempar dalam tempoh 24 jam," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata sekiranya pihak pembangkang beranggapan usul itu penting untuk dibincangkan di DUN dengan segera mereka boleh tampil bertemunya dengan memberikan alasan munasabah untuk menteri besar memberi sokongan berbuat demikian.

"Jelas usul yang nak dibawa ke dewan sekurang-kurangnya dalam tempoh 14 hari bekerja ataupun dibawa oleh menteri besar (bagi notis dalam tempoh) tujuh hari ataupun paling tidak sehari, mereka tidak hubungi saya, kalau dia ikhlas WhatsApp saya, tulis surat," katanya.

Sanusi berkata peraturan DUN itu penting untuk dipatuhi bagi memastikan sebarang usul yang dibahaskan nanti berlandaskan fakta tepat daripada laporan jabatan atapun agensi kerajaan berkaitan.

Beliau juga meminta pihak pembangkang agar tidak mempolitikkan isu banjir dan kejadian kepala air di Baling yang berlaku awal bulan ini.

"Laporan daripada jabatan perhutanan saya dah dapat, saya sudah ada kronologi dan tahu siapa yang menandatangani surat untuk luluskan projek ini (ladang Musang King di Gunung Inas), jangan paksa saya dedahkan semua itu, saya tak mahu 'blame game' dan saya hendak adil kepada semua...sekarang kita tidak mahu cari salah siapa, yang penting jalan penyelesaian," katanya.

Persidangan DUN ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.