- Iklan -
Berita

Cukai hiburan tinggi bukan masalah utama industri filem tempatan

Kebanyakan masalah berpunca daripada kurangnya pembaharuan dalam industri.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Penonton melintasi poster filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di pawagam Putrajaya.
Penonton melintasi poster filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di pawagam Putrajaya.

Tayangan filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” terus menerima sambutan luar biasa dengan kutipan terkini mencecah lebih RM71.27 juta selepas tiga minggu ditayangkan, meletakkan filem itu kekal nombor satu dalam carta panggung wayang tempatan dan kutipan tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah industri perfileman negara.

Seorang pengarah filem menyifatkan fenomena tersebut sebagai satu perkembangan yang baik tidak mengira sama ada filem tersebut bagus ataupun tidak.

Ini memandangkan kutipan tayangan yang tinggi menandakan minat orang ramai terhadap filem-filem tempatan kembali meningkat.

Pengarah filem dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusop berkata, senario yang berlaku itu juga menyebabkan ramai orang-orang “berduit” sudah mula menunjukkan minat untuk terlibat dalam penghasilan filem.

“Kerana cerahnya pulangan daripada pembikinan filem-filem ini,” katanya kepada MalaysiaNow dan menambah perkembangan itu merupakan khabar angin paling terbaru yang diterimanya daripada rakan-rakan dan penggiat seni tanah air.

Selepas seminggu tayangan di pawagam, filem Mat Kilau yang meraih kutipan kira-kira RM12.2 juta ketika itu didakwa masih belum menerima pulangan modal yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM8 juta.

Ini kerana pihak penerbit perlu membayar sebanyak 25% daripada hasil kutipan tersebut untuk cukai hiburan.

Selepas itu,  penerbit juga perlu memenuhi perjanjian dengan pihak pawagam di mana hasil kutipan filem untuk minggu pertama akan dibahagi sebanyak 50-50 antara pihak penerbit dan pawagam.

Pendedahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dengan rata-rata tidak berpuas hati terhadap jumlah bayaran cukai yang dikenakan kerana dianggap terlalu tinggi bagi tujuan berhibur.

Bagaimanapun, kata Al Jafree, kutipan cukai tersebut sudah diwajibkan sejak sekian lama dan sehingga hari ini tiada masalah pembayaran cukai hiburan dalam kalangan penerbit filem.

“Orang ramai mungkin tak sedar sebab selama ini tidak pernah ada filem yang dapat raih kutipan sampai tahap macam itu sekali.”

Tambahnya, kadar cukai hiburan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia tidak jauh berbeza dan turut diamalkan di negara-negara luar.

Sebagai contoh katanya, negara pengeluar filem terbesar dunia selepas India (Bollywood) iaitu Amerika Syarikat (Hollywood) turut mengenakan 40% bayaran kepada pawagam pada minggu pertama tayangan filem.

Manakala studio Hollywood mengambil 60% daripada jumlah kutipan.

Atas sebab itu, katanya permasalahan dalam industri pefileman bukannya pada pembayaran cukai tetapi pembangunan industri filem yang dilihat masih belum menunjukkan tanda-tanda pembaharuan.

“Ya betul Mat Kilau itu box office. Tetapi potensi yang ada pada filem-filem yang orang terlepas pandang selama ini pun rugi juga.

“Ini kerana tiada gerakan atau usaha yang sebenar-benarnya membangunkan sinema,” katanya.

Industri filem tempatan di Malaysia mulai berkembang sekitar penghujung tahun 1930-an dengan filem “Laila Majnun” sebagai filem pertama ditayangkan di Tanah Melayu pada tahun 1933.

Sehingga kini, Malaysia menghasilkan lebih kurang 20  filem dalam setahun dan antara 300-400 drama oleh penerbit serta stesen televisyen.

Terdapat kira-kira lebih 200 panggung wayang di Malaysia yang menayangkan filem tempatan dan luar negara.

Isu lebih besar

Seorang penerbit filem dan drama, Kamal Akram Ibrahim berkata nilai 25% cukai hiburan masih tinggi memandangkan filem adalah platform berhibur untuk rakyat dan tidak boleh disamakan dengan pusat hiburan seperti kelab malam atau pusat karaoke.

Katanya, cukai bukan satu-satunya masalah besar di dalam industri perfileman negara.

Terdapat pelbagai isu besar yang perlu diberikan perhatian terutamanya keistimewaan yang berlebihan diberikan kepada filem-filem luar negara.

“Seperti wujud kartel dalam memonopoli bisnes filem. Kartel di sini lebih menjurus kepada pawagam memandangkan mereka yang menentukan waktu dan dewan tayangan yang sangat mempengaruhi jualan tiket,” katanya yang pernah menerbitkan filem “Bikers Ketal 2” kepada MalaysiaNow.

Katanya, bagi filem-filem tempatan yang diletakkan di bawah skim wajib tayang cuma diberikan tempoh dua minggu tayangan di pawagam.

Kemudian, terpulang kepada pawagam sama ada meneruskan atau tidak tayangan tersebut bergantung kepada jualan tiket semasa.

“Jika filem-filem luar dirasakan lebih memberi kutipan yang memberangsangkan, maka filem tersebut akan ditayangkan sekerap yang mungkin. Dan filem tempatan ditolak ke hall yang lebih kecil atau dikeluarkan terus dari pawagam.”

Masalah Finas

Bercerita lebih lanjut, Kamal berkata keadaan menjadi lebih serius apabila badan yang sepatutnya mengawal selia industri tersebut tidak menjalankan fungsinya dengan baik.

Katanya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) banyak dipengaruhi oleh individu-individu “kayangan” dan mempunyai kepentingan politik.

“Sepatutnya Finas dipengerusikan dan diketuai oleh mereka yang faham dan bersungguh-sungguh mahu membawa filem tempatan ke luar negara.

“Dana atau geran banyak diberikan kepada mereka yang belum terbukti mampu menghasilkan filem yang baik dan (raih kutipan) box office,” katanya sambil menambah dirinya betul-betul mengharapkan elemen pembaharuan daripada ketua pegawai eksekutif Finas yang baru, Md Nasir Ibrahim yang dilantik pada penghujung tahun lalu.

Sementara itu, Al Jafree berkata industri filem tanah air sukar untuk maju dan bergerak ke hadapan apabila terdapat usaha murni yang diperkenalkan oleh pentadbir-pentadbir terdahulu tidak diteruskan.

Dengan mengambil contoh pengenalan sistem “standard contract” oleh bekas ketua pengarah Finas, Kamil Othman bagi krew dan pekerja filem.

Sistem itu meletakkan satu panduan tentang beberapa perkara termasuk penetapan harga syiling di mana kos bayaran upah dan perkhidmatan tidak boleh lebih atau kurang daripada panduan tersebut.

Menurut Al Jafree, usaha itu disambut baik oleh penggiat seni dengan Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) sebagai badan pertama yang mengguna pakai sistem tersebut.

“Tapi apabila Kamil ditamatkan kontraknya dan diganti dengan ketua pengarah yang lain, dia  mansuhkan idea itu.

“Jadi, masalahnya apa-apa usaha baik yang dibuat kalau tidak dilindungi dengan undang-undang benda itu boleh diubah dengan sewenang-wenangnya.”