- Iklan -
Berita

Selangor akan bangunkan semula stadium Shah Alam dengan kos hampir RM790 juta

Kerajaan negeri memilih untuk membangunkan semula stadium kerana dianggap lebih berbaloi dari segi kewangan berbanding membaik pulih bangunan itu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pintu masuk orang kenamaan Stadium Shah Alam, Selangor. Bangunan yang pernah menjadi tempat acara mega dan perlawanan sukan antarabangsa itu kini terbiar dan rosak.
Pintu masuk orang kenamaan Stadium Shah Alam, Selangor. Bangunan yang pernah menjadi tempat acara mega dan perlawanan sukan antarabangsa itu kini terbiar dan rosak.

Kerajaan Selangor akan membangunkan semula Stadium Shah Alam dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM787 juta, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Katanya, kerajaan negeri memilih untuk membangunkan semula berbanding membaik pulih stadium berkenaan kerana dianggap lebih berbaloi selepas melakukan penilaian dari segi teknikal dan secara kewangan.

Katanya, kos membangunkan semula berjumlah RM700 juta itu juga dianggap sebagai satu "pembinaan baru" memandangkan kosnya adalah hampir sekali ganda daripada kos pembinaan stadium terkemuka di negeri terbabit.

"Pada pandangan kita secara teknikal dan kewangan, adalah lebih berbaloi kita bangunkan semula," katanya pada sidang media penyerahan surat niat kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi cadangan terperinci mengenai pembangunan baru Stadium Shah Alam.

Menurut Amirudin, MRCB dilantik selepas melalui proses pemilihan ketat yang menyaksikan penyertaan 15 syarikat lain termasuk dari antarabangsa dan syarikat senarai awam.

"MRCB akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Selangor mengenai rancangan pembangunan kompleks sukan dan fasiliti sekitarnya," katanya.

Baru-baru ini, MalaysiaNow mendedahkan keadaan terkini Stadium Shah Alam yang dilihat seperti sudah terabai.

Rakaman itu menarik perhatian ramai malah terdapat desakan terhadap kerajaan negeri supaya melakukan sesuatu untuk mengembalikan "kegemilangan" stadium tersebut yang merupakan antara stadium terkemuka di negara selepas Stadium Bukit Jalil.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, keputusan untuk mengadakan pembangunan baru itu diambil setelah melakukan penelitian sejak 2013.

"Kerajaan negeri mengambil maklum balas orang ramai mengenai Stadium Shah Alam.

"Ada yang mahu membaiki kemudahan sukan ini dan mengembalikan kegemilangannya manakala ada juga merasakan bahawa kita harus membina semula dengan kemudahan moden dan memberikan nafas baru kepadanya.

"Setakat ini, segala cadangan dan pandangan telah diteliti dan akan dikemukakan kepada pemaju untuk dipertimbangkan," katanya.

Katanya, satu pameran mengenai pembangunan kompleks sukan itu juga akan diadakan selewat-lewatnya September depan supaya orang ramai lebih memahami isu yang menyelubungi rancangan pembangunan tersebut.