- Iklan -
Berita

PN mampu kekalkan sokongan walaupun tukar logo, kata penganalisis

Mereka berkata, PN tidak akan menghadapi masalah untuk meyakinkan penyokong dan pengundi mereka dengan logo baru.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut penganalisis politik, penyokong Perikatan Nasional akan menerima logo baru daripada gabungan itu.
Menurut penganalisis politik, penyokong Perikatan Nasional akan menerima logo baru daripada gabungan itu.

Keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk menukar logo baru tatkala gendang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin kuat dipalu dijangka tidak membawa kesan dari segi jumlah sokongan yang akan diterima gabungan itu, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, ini kerana meskipun logo antara faktor utama yang mempengaruhi keputusan pengundi, PN mempunyai kekuatan daripada akar umbi PAS.

"Pengundi PAS boleh menerima keputusan parti mereka menggunakan mana-mana logo yang ditetapkan, dan mereka akur dan patuh,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Lihat sahaja dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, pertama kali PAS meminta pengundi mereka memangkah lambang dacing Barisan Nasional (BN), dan ternyata ahli dan penyokong PAS menterjemahkan undi mereka kepada BN ketika itu.”

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan gabungan itu akan memperkenalkan logo baru untuk berdepan dengan PRU15.

Sebelum ini, PAS yang merupakan komponen dalam PN memaklumkan logo dan warna baru diperlukan bagi megelak pengundi keliru dengan BN.

PN merupakan gabungan politik terbaru yang berdepan dengan isu logo.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) turut berada dalam dilema yang sama apabila PKR menetapkan untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

PKR sebelum ini mahu menguji kekuatan sendiri dengan tidak menggunakan logo PH, namun parti itu merekodkan pencapaian buruk sama seperti PRN Melaka beberapa bulan sebelumnya.

BN turut berdepan dengan isu penjenamaan semula selepas kekalahan parti itu buat pertama kali dalam PRU14 pada 2018 namun kekal dengan logo dan nama yang sama.

Ia juga menimbulkan persoalan mengenai kerelevanan logo parti politik dalam mempengaruhi pengundi di kertas undi.

Bagi PN, Hisommudin berkata keputusan yang kurang memuaskan PN pada dua siri PRN di Melaka dan Johor membuatkan gabungan itu melihat perluknya satu logo yang lebih memenuhi makna.

Katanya logo PN sedia ada terlalu "simple".

Sementara itu, penganalisis politik Kartini Aboo Talib daripada Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, logo amat penting pada suatu ketika dahulu kerna kurangnya literasi politik dalam kalangan rakyat.

"Mereka bergantung pada logo dan simbol utk mengenal parti politik yang akan ditanda di kertas undi.

"Pada zaman milenia ini, saya fikir logo dan simbol diperlukan sebagai syarat mewakili parti politik, namun intipati yang mengisi parti politik kini diutamakan rakyat," katanya.

Melihat kepada kemenangan PH pada PRU14 lepas yang mana gabungan itu menggunakan logo PKR sebagai tanda kesatuan, tindakan PN kali ini menurut Kartini mempunyai kelebihan yang sama.

"Ia sebagai simbol untuk menunjukkan dua parti Melayu-Islam ini bekerjasama. Bagi 'moral constituents' seperti Kelantan, Terengganu, sebahagian Kedah dan Perak, penyokong tegar PAS mungkin melihat logo dan simbol yang berubah tidak akan mengubah apa-apa kerana keputusan tetap akan memilih PAS.

"Sebaliknya bagi kawasan bandar dan bukan kubu kuat PAS, Bersatu, atau PN, tukarlah logo sepuluh kali pun pengundi tetap tidak akan memilih PN," katanya.

Hisommudin pula berkata, penerimaan logo baru dalam kalangan pengundi bergantung kepada kekuatan jentera PN dalam mempromosikannya.

"Melihat kepada penguasaan PN, saya merasakan PN tidak menghadapi masalah untuk meyakinkan penyokong dan pengundi mereka kelak walaupun mereka memperkenalkan lambang baru dalam PRU15 nanti," katanya.