- Iklan -
Berita

Isu teknikal berhubung proses pengambilan pekerja warga Bangladesh selesai

Menurut Kementerian Sumber Manusia, proses pengesahan melibatkan lebih 2,000 pekerja warga Bangladesh telah diselesaikan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja asing warga Bangladesh menyiapkan pesanan pelanggan di sebuah kedai makanan di Kuala Lumpur.
Seorang pekerja asing warga Bangladesh menyiapkan pesanan pelanggan di sebuah kedai makanan di Kuala Lumpur.

Proses pengambilan pekerja warga Bangladesh telah bermula setelah isu-isu teknikal yang dihadapi sebelum ini ditangani, kata Kementerian Sumber Manusia (KSM).

KSM dalam satu kenyataan hari ini berkata proses pengesahan melibatkan 15 syarikat dan lebih 2,000 pekerja warga Bangladesh telah diselesaikan oleh Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur dan proses itu dijangka meningkat pada minggu-minggu akan datang.

“Ini menunjukkan bahawa isu-isu teknikal yang dihadapi sebelum ini bagi proses pengambilan pekerja warga Bangladesh ke negara ini telah dapat ditangani,” kata KSM berhubung status kemasukan pekerja warga Bangladesh ke Malaysia.

KSM berkata majikan yang telah membayar levi dan bercadang untuk menggajikan pekerja warga Bangladesh boleh memanjangkan permohonan pengesahan penggajian dan dokumentasi seperti kontrak pekerjaan serta pesanan kerja bagi pekerja ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

“Walau bagaimanapun, kemasukan pekerja warga Bangladesh ini tertakluk kepada saringan keselamatan dan kesihatan termasuk pematuhan syarat-syarat Jabatan Imigresen,” katanya.

Pada 19 Disember tahun lepas, Malaysia dan Bangladesh memeterai memorandum persefahaman (MoU)  berhubung pengambilan pekerja negara itu untuk berkhidmat di negara ini, berkuat kuasa selama lima tahun sehingga Disember 2026.

MoU itu ditandatangani Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Imran Ahmed di Kuala Lumpur.

Saravanan berkata MoU berkenaan menggariskan tanggungjawab kedua-dua negara termasuklah berkaitan majikan Malaysia dan pekerja Bangladesh serta tanggungjawab agensi-agensi pekerjaan swasta di kedua-dua negara.