- Iklan -
Berita

CAP gesa ahli Parlimen rentas parti sokong rancangan kerajaan akhiri tabiat merokok

Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkata cukai yang diperolehi daripada produk tembakau adalah rendah berbanding kos rawatan penyakit kronik akibat tabiat merokok.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Rang undang-undang larangan merokok yang akan dibentang kerajaan adalah bagi menghalang generasi muda daripada tabiat merokok dan ketagihan produk tembakau. Gambar: Bernama
Rang undang-undang larangan merokok yang akan dibentang kerajaan adalah bagi menghalang generasi muda daripada tabiat merokok dan ketagihan produk tembakau. Gambar: Bernama

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menggesa semua ahli Parlimen dan anggota Kabinet menyokong rancangan kerajaan untuk menghentikan tabiat merokok dan pemilikan produk tembakau dalam kalangan mereka yang dilahirkan selepas 2005, mengatakan undang-undang itu akan melahirkan masyarakat yang sihat dan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung sistem penjagaan kesihatan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata kerajaan sudah tersalah langkah sewaktu mengenakan 10% duti eksais terhadap produk rokok elektronik dan bukan elektronik pada tahun lalu tanpa mengambil kira kos ekonomi bagi merawat penyakit kronik berkaitan merokok.

“Cukai yang diperoleh daripada semua produk tembakau adalah kecil berbanding anggaran perbelanjaan semasa sebanyak RM3 bilion bagi merawat penyakit kronik akibat tabiat merokok,” katanya dan menambah jumlah tersebut dijangka meningkat kepada RM8 bilion menjelang 2030.

Beliau juga turut membidas dakwaan industri tembakau yang berkata vape tidak berbahaya, mengatakan kajian menunjukkan aerosol dalam bahan vape mengandungi logam berat dan bahan toksik lain.

“Tabiat vaping didapati lebih banyak menyebabkan ketagihan, menjadikannya lebih sukar untuk dihentikan,” katanya.

“Malaysia sangat memerlukan undang-undang kawalan tembakau yang komprehensif bagi menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang diletakkan di bawah Akta Makanan 1983.

"Malahan, jika tidak ada lobi yang hebat oleh industri tembakau, peraturan itu akan digantikan dengan Akta Kawalan Tembakau pada 2007."

Pada 8 Julai, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada bahawa Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu ini sebelum dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata cadangan pelaksanaan undang-undang yang boleh mengakhiri tabiat turun-temurun melalui RUU itu adalah untuk melindungi generasi muda Malaysia daripada terjebak dengan tabiat merokok dan ketagihan produk tembakau, selain dapat  mengurangkan bilangan perokok di Malaysia kepada kurang daripada 5% menjelang 2040.

Beliau menambah kadar jumlah perokok di Malaysia adalah tinggi iaitu sebanyak 40.5% dalam kalangan lelaki dan 20% dalam kalangan wanita.

Semalam, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi antara salah seorang yang menyuarakan keraguan mengenai RUU tersebut, mengatakan ia mungkin menjejaskan perniagaan serta kebebasan individu selain boleh menyebabkan penjualan rokok haram.

"Isu ini harus dibahaskan secara menyeluruh dan dibincangkan berdasarkan data dan sains," kata beliau yang dipetik sebagai berkata kepada laman sesawang berita kesihatan CodeBlue.