- Iklan -
Berita

Penumpang AirAsia X tiada harapan terima bayaran balik tiket?

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia meminta semua pihak untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi berhubung proses penstrukturan semula hutang syarikat penerbangan itu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang menunggu pesawat penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Sarawak.
Penumpang menunggu pesawat penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Sarawak.

Harapan penumpang untuk mendapatkan semula bayaran balik tiket penerbangan AirAsia X (AAX) yang dibatalkan sejak 2020 semakin pudar apabila Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meminta semua pihak menghormati dan mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi.

AAX sebelum ini selesai melalui proses penstrukturan semula hutang syarikat yang mana syarikat penerbangan tambang murah itu mendakwa mereka menerima persetujuan 99% daripada pemiutang pada 12 November 2021 sebelum cadangan itu diluluskan oleh Mahkamah Tinggi pada 16 Disember 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail, disebabkan proses ini, syarikat penerbangan itu tidak boleh memberi bayaran balik dalam bentuk tunai kerana undang-undang.

Oleh itu, AAX menawarkan kembali bayaran balik dalam bentuk kredit atau baucar perjalanan dan 10% daripada harga tiket penerbangan.

Namun begitu, keputusan ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan penumpang yang terjejas dan mereka terus mendesak pihak syarikat hormati hak mereka sebagai pengguna dan meminta wang pembelian tiket dipulangkan serta-merta.

Jurucakap Mavcom menjelaskan bahawa Skim Pengaturan (Skim) yang dilaksanakan AAX dan diselia oleh Mahkamah Tinggi, segala hutang serta liabiliti AAX termasuk wang yang terhutang kepada pengguna adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan Skim tersebut.

Bagaimanapun, katanya, Mavcom sekali lagi menekankan bahawa AAX membayar balik harga kos tiket penerbangan yang dibeli pengguna dan mereka tidak patut diklasifikasikan sebagai pemiutang di bawah Skim.

"Hasilnya, AAX akan memberikan pembayaran ganti rugi 100% dalam bentuk kredit di samping pampasan lain yang pengguna layak menerima di bawah Skim itu," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ia penting untuk AAX memenuhi tanggungjawabnya dan membuat pembayaran ganti kepada semua pengguna yang terkesan secepat mungkin bagi memastikan pengguna menerima pampasan yang adil.”

Bagaimanapun, MalaysiaNow mendapati masih terdapat persoalan apabila beberapa penumpang yang terjejas memaklumkan mereka berjaya mendapatkan bayaran balik dalam bentuk tunai sekali gus bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh Benyamin.

Antaranya ialah Sanjay Banerjee, seorang warga India yang melakukan spam kepada akaun LinkedIn syarikat penerbangan tersebut manakala seorang lagi ialah penumpang dari Filipina, Rose Marie Jane Rementina.

Seorang lagi ialah Nagendran yang berjaya mendapatkan bayaran balik apabila dia pergi ke ibu pejabat AirAsia selepas melalui proses undang-undang di Mahkamah Tuntutan Kecil Shah Alam.

Apabila ditanya mengenai situasi bayaran balik ini, Mavcom meminta supaya MalaysiaNow mendapatkan penjelasan sendiri daripada AAX.

Bagaimanapun MalaysiaNow masih lagi menunggu maklum balas daripada pihak syarikat terbabit.

"Kami juga ingin memberi peringatan bahawa semua syarikat penerbangan perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan di negara destinasi dan ini berkemungkinan menjadi faktor mod pembayaran ganti," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Mavcom tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasanya di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan (MACPC) jika AAX gagal menepati janjinya.

Katanya, Mavcom sedang memantau perkembangan penstrukturan semula hutang AAX, selaras dengan tanggungjawab suruhanjaya itu sebagai pengawal selia perkara ekonomi dan komersial berhubung industri penerbangan awam di Malaysia dan melindungi hak pengguna.

"Namun begitu, AAX boleh, mengikut budi bicaranya, menawarkan promosi istimewa penerbangan kepada penumpang mengikut syarat dan cara yang dianggap sesuai," katanya yang memetik Perenggan 3 Perintah Sanski (Sanction Order).

"Atas dasar budi bicara, AAX menawarkan kredit perjalanan yang bersamaan dengan nilai keseluruhan tiket penerbangan yang tidak digunakan kepada pengguna.

"Kredit perjalanan ini sah selama tempoh lima tahun dan boleh digunakan secara serta-merta bagi mana-mana penerbangan AAX sedia ada," tambahnya.