- Iklan -
Berita

Bagaimana subsidi yuran pengajian bebankan universiti awam

Walaupun subsidi kerajaan membolehkan pengurangan yuran pengajian di universiti awam, namun ia turut menjejaskan perkara-perkara lain di institusi pendidikan tinggi awam dalam negara.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi

Di Malaysia, terdapat jurang perbelanjaan kos yang ketara antara universiti awam berbanding institusi pengajian tinggi swasta.

Yuran untuk satu semester di universiti swasta boleh mencecah puluhan ribu ringgit, sementara keseluruhan pengajian peringkat ijazah sarjana muda bagi bidang perakaunan dan pergigian di universiti awam boleh diselesaikan dengan jumlah yuran yang tidak besar.

Bagaimanapun, apakah sistem subsidi yang digunakan untuk mengurangkan harga yuran di universiti awam adalah amalan yang baik atau tidak adalah satu isu yang boleh diperdebatkan.

Bagi bekas naib canselor Univeriti Kebangsaan Malaysia (UKM) Noor Azlan Ghazali, amalan sistem yang berlaku dalam sektor pengajian tinggi negara tidak mencerminkan pencapaian yang diraih institusi pengajian Malaysia.

“Ambil contoh UM dalam kedudukan 100 terbaik dunia, tetapi yuran mereka bukan dalam 100 yang termahal di dunia,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini sesuatu yang kelakar.”

Universiti Malaya (UM) yang merupakan institusi pengajian tinggi tertua dalam negara terus mendahului universiti-universiti lain dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2023 dan mengekalkan tempatnya dalam kalangan 100 selama lima tahun berturut-turut.

Sementara ranking Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UKM melonjak dalam kalangan 130 universiti terbaik dan Universiti Sains Malaysia (USM) pula berada dalam ranking 150 universiti terbaik.

Bagi universiti swasta pula, Taylor's University dinamakan sebagai universiti nombor satu di Asia Tenggara bagi tiga tahun berturut-turut.

Azlan berkata prestasi cemerlang yang ditunjukkan universiti dalam negara perlu setara dengan yurannya.

“Saya lebih kepada pandangan perkhidmatan universiti contohnya daripada segi pendidikan, program-program akademik, kalau ianya benar-benar bagus, bukankah bermaksud yurannya juga sepatutnya menjadi semakin tinggi?” katanya.

Subsidi

Untuk rekod, semua penuntut di universiti awam seluruh negara diberikan subsidi kerajaan kira-kira 90% daripada kos yuran sebenar, manakala pelajar hanya perlu membayar baki 10%.

Ini menjadikan jumlah yuran pengajian di universiti awam amat rendah berbanding harga pasaran di sektor pengajian swasta.

Semakan MalaysiaNow mendapati yuran pengajian keseluruhan untuk jurusan profesional seperti perakaunan, pergigian, farmasi dan perubatan menelan kos sekitar RM40,000 bagi empat tahun atau lapan semester di universiti awam.

Manakala jurusan seperti sains sosial, pendidikan, seni, bahasa dan lain-lain melibatkan kos sebanyak RM22,000 hingga RM25,000 mengikut universiti masing-masing.

Jumlah bayaran yuran yang dikenakan pula sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bagi satu semester dan bakinya ditanggung oleh kerajaan.

Subsidi yuran pengajian dan pendidikan di sekolah-sekolah awam seluruh negara diperkenalkan sekitar penghujung tahun 1980-an dan diperluaskan pada 1990-an.

Sehingga kini, subsidi pendidikan masih boleh dikesan melalui pinjaman buku teks, rancangan makanan tambahan di sekolah dan bayaran yuran yang rendah di kolej serta universiti.

Mengulas lanjut, Azlan yang pernah menerajui kepimpinan UKM selama lima tahun berkata, dengan kewujudan subsidi, ramai pihak mengambil kesempatan daripada kemudahan tersebut.

Katanya, kesilapan utama yang dilakukan oleh sistem pendidikan tinggi negara apabila mengandaikan semua pelajar di universiti adalah mereka yang miskin dan tidak berkemampuan.

“Salah, sepenuhnya salah,” katanya dan menambah jika diteliti profil pelajar yang menuntut dalam jurusan-jurusan profesional, butiran peribadi mereka akan menunjukkan latar belakang yang sebaliknya.

Atas sebab itu, katanya, tidak menghairankan apabila terdapat mana-mana pelajar yang tidak diterima masuk ke universiti awam bagi jurusan berkenaan, mereka mampu melanjutkan pengajian di luar negara dengan kos pengajian yang mencecah ratusan ribu ringgit setahun.

Azlan menceritakan, ketika berkhidmat sebagai naib canselor UKM, beliau pernah mencadangkan satu konsep baru kepada kerajaan mengenai pemberian subsidi yuran di universiti awam dengan memperkenalkan sistem pembayaran yuran dan subsidi tiga peringkat (three tier system).

“Pertama sekali, kerajaan perlu berani untuk katakan, ya kita bagi subsidi tetapi hanya kepada mereka yang memerlukan.”

Katanya, di peringkat pertama melibatkan golongan miskin dan para pelajar dari golongan berpendapatan rendah.

Mereka ini diberikan subsidi sepenuhnya seperti biasa dan hanya membayar sebanyak 10% daripada jumlah keseluruhan yuran.

Di peringkat kedua melibatkan para pelajar kumpulan menengah pertengahan di mana mereka ini masih diberikan subsidi kerajaan dan membayar kos pengajian sekitar 40% sahaja daripada keseluruhan yuran.

Manakala peringkat ketiga dan tertinggi melibatkan pelajar yang paling kaya.

Mereka akan tetap diberikan subsidi, tetapi jumlah bayaran mungkin mencecah hingga 60% atau 70% daripada kos keseluruhan pengajian.

Azlan yang juga seorang ahli ekonomi berkata, beliau sudah membuat penelitian dan kiraan mengenai sistem tersebut yang dilihat berupaya membantu dan menyokong universiti untuk mencapai status pusat pengajian tinggi yang gah dan berkualiti setaraf universiti di luar negara.

“Jadi, sebahagian besar pendapatan universiti datang daripada ini, tetapi di Malaysia, kaedah ini dibekukan untuk sekian lama. Kalau tak silap sejak 1990-an lagi.

“Anda mungkin kelihatan baik kepada negara dengan menyediakan pendidikan pada kos yang paling rendah, tetapi akhirnya menjejaskan banyak perkara lain, seperti mengekalkan tenaga kerja yang berbakat, mempunyai infrastruktur yang baik, kemudahan bertaraf dunia, fasiliti  penyelidikan dan sebagainya.”

Menceritakan lebih lanjut, Azlan memberitahu kisah dari pengalamannya sendiri yang didekati oleh keluarga pelajar yang bertanya sama ada universiti ada menyediakan kediaman yang lebih selesa seperti bilik bujang dan tidak berkongsi, kemudahan seperti penghawa dingin dan air panas di bilik mandi - satu keadaan yang lebih premium berbanding bilik-bilik sedia ada yang lebih lama dan menggunakan fasiliti secara berkongsi dengan penghuni lain.

Dan apabila keluarga-keluarga tersebut diberitahu pihak kolej kediaman boleh menyediakan kemudahan-kemudahan seperti yang diminta, mereka sangat berterima kasih.

“Tetapi mereka perlu bayar pada harga (yuran) yang paling tinggi. Dan mereka sanggup untuk bayar.  Kalau anda tanya saya pun, saya akan ambil.

“Sebab itu saya katakan kita perlu ‘re-design’ sistem (subsidi) tersebut.”