- Iklan -
Berita

Pengeluaran KWSP, dulu penyelamat kini penyebab harga barang naik?

Ahli ekonomi berbeza pandangan mengenai kesan pengeluaran caruman KWSP terhadap harga makanan semasa.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pelanggan membeli barangan runcit di Pasar Ampang, Kuala Lumpur.
Pelanggan membeli barangan runcit di Pasar Ampang, Kuala Lumpur.

Pengeluaran wang akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak dua tahun lalu dikatakan menjadi penyelamat kepada rakyat yang terjejas akibat penutupan ekonomi dan sempadan sejak wabak Covid-19 melanda dunia. 

Bermula dengan pengeluaran menerusi i-Sinar sebanyak RM10,000, beberapa siri pengeluaran lain turut diberikan kerajaan. 

Kali terakhir ialah i-Citra yang mana RM10,000 lagi dikeluarkan oleh mana-mana pencarum yang mahu berbuat demikian. 

Antara bantuan lain termasuk pakej rangsangan dan moratorium pinjaman bank. 

Meskipun ia dilihat tepat dengan keadaan semasa, pembukaan semula sektor ekonomi secara beransur-ansur menyebabkan perbelanjaan meningkat. 

Sebelum ini, beberapa pakar ekonomi memberi amaran terhadap pengeluaran i-Citra pada tahun ini yang dikhuatiri bakal menyebabkan inflasi di negara ini. 

Pakar ekonomi daripada Universiti Tun Razak, Barjoyai Bardai berkata, tidak dinafikan pengeluaran itu menyebabkan harga barang meningkat dengan mendadak. 

"Pemberian bantuan kerajaan kepada kumpulan sasar juga jumlahnya melebihi RM10 bilion, manakala ambilan daripada KWSP berjumlah RM60 bilion.

“Kesannya dapat dilihat pada kos makan di restoran. Apabila kelonggaran diberikan, rakyat ramai makan di restoran.  

“Ini menyebabkan permintaan kepada barang-barang mentah meningkat mendadak," katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, permintaan tinggi daripada peniaga makanan menyebabkan pengguna lain terpaksa membayar harga yang tinggi untuk bahan-bahan makanan. 

Sebagai contoh, peniaga makanan yang menerima kontrak membekal makanan mungkin sanggup membayar sehingga RM20 untuk sekilo. 

Pembekal katanya akan lebih cenderung untuk menjual kepada peniaga makanan berbanding isi rumah biasa. 

Harga ayam antara perkara yang rungutan utama berhubung kenaikan harga barang. 

Sebelum ini, kerajaan memberi subsidi kepada penternak ayam namun ia ditarik semula. 

Cadangan mengapungkan harga ayam juga ditarik semula dan harga siling RM9.40 sekilo ditetapkan. 

Eksport ayam ke negara Singapura juga tidak dibenarkan dalam usaha menambah bekalan ayam di pasaran tempatan.  

Selain harga ayam, harga minyak sawit dalam botol juga dilaporkan meningkat, manakala subsidi minyak masak paket satu kilogram diteruskan. 

Ketua pakar ekonomi Bank Islam Afzanizam Abdul Rashid berkata, sememangnya terdapat impak daripada pakej rangsangan dan pengeluaran KWSP namun ia tidak boleh dikuantifikasi. 

“Apabila duit itu banyak dalam sistem ekonomi, berlaku kenaikan permintaan mendadak selepas ekonomi dibuka. 

"Daripada segi peningkatan aktiviti ekonomi, suku pertama tahun ini menyaksikan lonjakan sehingga 5%. Ada faktor tarikan permintaan (demand pull) di situ," katanya. 

Bagaimanapun, pakar ekonomi dari Malaysia University of Science and Technology, Geoffrey Williams berkata kenaikan harga makanan ialah disebabkan sekatan bekalan akibat daripada siri perintah kawalan pergerakan. 

"Pengeluar makanan merendahkan tahap pengeluaran dan sukar untuk mereka bergerak semula. Terdapat juga isu-isu anti-persaingan yang mana sedang diteliti oleh kerajaan.

"Inflasi ketika ini tiada kaitan dengan pengeluaran wang KWSP atau pakej rangsangan. 

“Pengeluaran dan pakej itu menyediakan sokongan minimum untuk permintaan semasa perintah kawalan pergerakan dan tanpanya, keadaan akan jadi lebih bermasalah dan kita akan mengalami masalah di bahagian bekalan, pertumbuhan yang lebih rendah dan inflasi yang lebih tinggi," katanya. 

Dalam pada itu, mereka berkata tindakan pemantauan kerajaan merupakan satu perkembangan positif yang menyasarkan sikap anti-persaingan dan manipulasi pasaran oleh pihak kartel, monopoli dan orang tengah. 

Barjoyai berkata, harga sesuatu komoditi tidak ditentukan oleh peniaga runcit semata-mata, tetapi sistem pasaran yang melalui rantaian bekalan. 

"Rantaian ini bermula dari pengeluar kepada pemborong, melalui beberapa tahap sebelum sampai kepada peruncit. Kita tak tahu sebenarnya siapa yang memanipulasi harga.

"Penternak kata mereka menjual kurang daripada RM5 sekilo ayam, jadi bagaimana harga boleh jadi sampai RM8.50-RM9.40 apabila sampai ke peruncit?" katanya.

Williams menambah elemen seperti monopoli, kartel dan orang tengah tidak terhasil daripada kuasa pasaran, namun menerusi lesen, permit dan regulasi yang dikeluarkan kerajaan hanya kepada pihak-pihak tertentu.

Dengan fungsi yang sebenarnya, katanya orang tengah boleh bertindak sebagai penyelaras bekalan dan membawa produk ke pasaran, selain perkongsian sumber seperti pengangkutan. 

"Bagaimanapun, pengalaman umum di Malaysia ialah orang tengah menggunakan posisi mereka untuk memanipulasi pasaran, menaikkan harga dan mengambil sebahagian besar hasil antara penternak dan pengguna. 

"Polisi kerajaan sejak bertahun-tahun menghasilkan susun atur anti-persaingan ini, dan sekarang kita melihat sendiri akibat dan kosnya. 

“Bagus jika kita melihat elemen ini dipecahkan,” katanya.