- Iklan -
Berita

Rakyat Malaysia berdepan hukuman mati di Singapura cekal, tidak berputus asa

Kakaknya Sonia berkata, Kalwant akan terus melawan hukuman gantung terhadapnya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Kalwant Singh (kanan) bersama kakaknya Sonia, anak saudaranya Kellvina dan bapanya. Gambar: Instagram
Kalwant Singh (kanan) bersama kakaknya Sonia, anak saudaranya Kellvina dan bapanya. Gambar: Instagram

Sejak hampir 10 tahun lalu, Sonia, seorang kakak dan ibu tunggal tidak melepaskan peluang untuk melawat adik kandungnya di Penjara Changi di Singapura.

Dia melalui fasa-fasa getir untuk melakukan rutin itu.

Selain terpaksa melalui prosedur ketat dan proses masuk ke bangunan penjara yang memakan masa lama.

Namun, Sonia tabahkan diri demi bertemu adik kesayangannya.

Kalwant Singh, adik lelakinya kini berada dalam bilik banduan akhir di Singapura.

Pemuda itu ditahan pihak berkuasa republik berkenaan pada usia 23 tahun dan menghabiskan masa sembilan tahun di penjara.

Dia ditangkap pada 24 Oktober 2013 dan dijatuhi hukuman mati pada 1 Jun 2016 kerana mengedar 60.15g dadah jenis diamorphine.

Sepanjang tempoh itu, Sonia seringkali melawat adiknya.

Dia selalu hadir membawa ayahnya dan anak perempuannya yang amat rapat dengan Kalwant.

Katanya, ayah akan memandu teksinya dari Cameron Highlands, Pahang terus ke Singapura untuk melawat dan berjumpa anak lelaki kesayangannya itu.

Sonia menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang sangat gigih bekerja untuk memastikan Kalwant boleh mendapatkan khidmat peguam yang terbaik.

Mereka sekeluarga seringkali tidur di dalam kereta di kawasan Changi Village untuk berehat sebelum bertemu Kalwant keesokan harinya di penjara.

Tidak sehingga tahun lalu, ayah Sonia meninggal dunia dengan meninggalkan jejak sebanyak 820,000 km pada meter teksinya.

"Itu lah pengorbanan ayah, dia pandu sejauh itu untuk Kalwant," katanya kepada MalaysiaNow sambil menambah ayahnya meninggal disebabkan kanser.

"Kalwant tidak suka jika anda datang melawatnya dengan menangis. Dia tidak suka. Jadi kami pergi melawat dengan membawa cerita-cerita baru, gosip dan kisah kelakar.

"Masa yang kami luangkan bersama dipenuhi dengan gelak tawa dan memori bahagia sahaja."

Pakcik yang penyayang

Bercerita lebih lanjut, Sonia berkata, dia tidak pernah menganggap Kalwant sebagai seorang adik, malah sudah seperti anaknya sendiri.

Sikap Kalwant yang amat penyayang dan sentiasa bersedia untuk membantu sesiapa sahaja menjadikan pemuda itu amat disenangi orang sekeliling.

"Kami memang rapat dan nakal dari kecil. Tapi dia betul-betul istimewa sebab dia akan lakukan apa sahaja untuk membantu.

"Itu yang dia lakukan untuk saya dan keluarga. Anak perempuan saya amat menyayangi pakciknya itu. Kerana Kalwant yang selama ini menjaga dia."

Anak perempuan Sonia bernama Kellvina berusia 11 tahun ketika Kalwant ditahan.

Katanya, pada ketika itu anaknya seakan sudah memahami apa yang berlaku kepada pakcik kesayangannya.

"Dia nampak saya selalu bersedih kerana ketika itu saya mengalami kemurungan.

"Kellvina yang banyak bantu saya untuk bertenang dan bersabar," katanya sambil menambah tidak pernah sekali pun anaknya itu terlupa untuk mengirimkan surat kepada Kalwant.

Sehingga kini, Kellvina sudah berusia 21 tahun dan setia mengunjungi bapa saudaranya di penjara.

Gadis itu turut menjadi pelawat kegemaran banduan-banduan akhir kerana mereka sudah mengenali Kellvina sejak dia masih kecil dan bersekolah.

Sonia turut menyebut hubungan antara anaknya dan Kalwant menjadi semakin akrab walaupun berpisah dengan jarak beribu batu.

Selain surat, Kellvina juga gemar mengusik pakciknya setiap kali lawatan ke penjara sehingga mencuit hati pegawai dan anggota di situ.

"Sejak hari pertama, saya tahu Kalwant sudah kasih dan sayang kepada anak saudaranya."

Tidak pernah berputus asa

Kalwant dijadual untuk menjalani hukumannya pada 7 Julai beberapa bulan selepas hukuman gantung terhadap warga Malaysia, Nagaenthran pada 27 April lalu meskipun mendapat kecaman hebat masyarakat antarabangsa susulan masalah kesihatan mentalnya.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Sonia memaklumkan bahawa dia dan beberapa ahli keluarga lain sudah berada di Singapura sejak Khamis dan Jumaat lepas.

Mereka datang awal untuk bertemu Kalwant setiap hari dan berurusan dengan peguam hampir sepanjang masa.

Ketika ditanya mengenai khabar dan perkembangan terkini Kalwant di dalam penjara, Sonia dengan teruja berkata adiknya itu berada dalam keadaan yang baik dan sangat positif.

"Dia amat positif dan tidak berputus asa. Dia akan terus melawan (hukuman gantung) kerana dia yakin ini bukan pengakhiran buat dirinya.

"Saya berharap dia benar-benar bersemangat dan tidak berpura-pura kuat demi menjaga perasaan kami."