- Iklan -
Berita

Runding, jangan tolak semua, kata Wan Junaidi berhubung cadangan ‘MA63 baru’ BN

Menteri JPM itu berkata Perjanjian Malaysia 1963 sudah mempunyai garis panduan tentang apa yang perlu diberi kepada Sabah dan Sarawak.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Perjanjian Malaysia 1963 perlu dirunding semula, bukan diganti. Gambar: Bernama
Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Perjanjian Malaysia 1963 perlu dirunding semula, bukan diganti. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar menolak cadangan terbaru dari Barisan Nasional (BN) untuk menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan perjanjian baru antara semenanjung dengan negeri-negeri Borneo.

Ahli Parlimen Santubong merangkap menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ahwal perundangan berkata, sebarang langkah untuk melaksanakan perjanjian baru tidak akan berbuat banyak dalam menggembalikan hak Sabah atau Sarawak.

“Ia bukan persoalan untuk sebuah perjanjian baru,” katanya kepada MalaysiaNow apabila ditanya tentang cadangan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin.

“Kontrak ini adalah asas bagi Sarawak dan Sabah ketika Malaysia ditubuhkan pada 1963.

“MA63 sudah mempunyai garis panduan tentang apa yang harus diputuskan dan apa yang harus diberikan kepada Sabah dan Sarawak. Merangka perjanjian baru merupakan satu kerja yang menjemukan. Sangat menjemukan dengan pelbagai butiran yang perlu diambil kira.”

Wan Junaidi berkata, masa perundingan sudah berjalan hampir dua tahun untuk perlaksanaan MA63 dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk perjanjian baru berdasarkan keadaan semasa.

Dalam mencadangkan perjanjian baru untuk menggantikan MA63, Mohamad dan Bung berkata, BN akan mengeluarkan rancangan baru dan manifesto untuk Sabah menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka berkata, perjanjian baru diperlukan untuk mengukuhkan Sabah dan menguatkan Persekutuan Malaysia.

Akan tetapi Wan Junaidi dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) menzahirkan keraguannya tentang bagaimana ia boleh menguatkan Persekutuan Malaysia.

Katanya, walaupun MA63 bukanlah satu perjanjian yang sempurna, Sabah dan Sarawak harus mencari jalan untuk menyelesaikan isu-isu yang mereka hadapi berdasarkan perjanjian tersebut.

Beliau menambah pemimpin BN seharusnya faham keperluan perjanjian itu sebagai asas rujukan.

“Anda harus memahami perjanjian itu sendiri,” katanya.

“Dalam MA63, terdapat beberapa dokumen-dokumen penting yang perlu diambil kira. Semuanya ada di situ. Anda boleh berunding, tapi jangan buang semua yang ada di dalamnya.

“Kita tidak boleh berunding tentang perjanjian, tapi apa yang kita rundingkan kuantum dan nilai.”

Berhubung dengan isu hasil petroleum contohnya, beliau berkata Sabah harus berunding jumlahnya dengan Putrajaya berdasarkan keuntungan yang diperolehi.

Beliau turut menggesa kerajaan persekutuan untuk terus membangunkan negeri-negeri Borneo.

“Sarawak memerlukan lebih banyak dana pembangunan kerana bilangan agensi di Sarawak lebih banyak daripada Sabah. Jadi, apa yang sudah diputuskan untuk Sabah, tidak boleh dibandingkan dengan Sarawak,” katanya.

“Dari segi sejarah apabila Sabah dan Sarawak bersetuju untuk membentuk Malaysia, ia disebabkan kami teruja dengan pembangunan di semenanjung dan mahu tempat kami dibangunkan seperti itu.

“Jadi dana harus diberikan, tetapi kita boleh berunding kuantumnya.”

Jika bercakap secara politik, katanya, dan ianya tidak berdaya maju untuk rundingkan semula perjanjian itu.

“Kita harus berunding dalam konteks perjanjian itu, apakah hak Sabah dan Sarawak, dan kita tidak boleh mengubahnya kerana pengelibatannya dalam sesetengah konvensyen antarabangsa.

“Perlu ada kesungguhan dalam melaksanakan perjanjian tanpa menjejaskan konvensyen-konvensyen ini.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.