- Iklan -
Berita

Pendakwaan akan periksa balas Zahid hari ini

Hakim Sequerah berkata beliau tidak benarkan penangguhan prosiding sehingga beliau membuat keputusan mengenai permohonan penangguhan itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Gambar: Bernama

Selepas beberapa hari memberi keterangan membela diri dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB), Ahmad Zahid Hamidi akan disoal oleh pihak pendakwaan dalam sesi pemeriksaan balas hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pemeriksaan balas bermula esok (hari ini) kerana beliau tidak mahu perbicaraan itu terhalang.

“Tarikh (perbicaraan) saya padat. Kita teruskan,” kata hakim.

Terdahulu, Zahid yang diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik meminta pemeriksaan balas itu ditangguhkan sementara menunggu pendengaran permohonan penangguhan yang ditetapkan pada 7 Julai.

Hakim Sequerah berkata beliau tidak benarkan penangguhan prosiding sehingga beliau membuat keputusan mengenai permohonan penangguhan itu.

Hisyam kemudian meminta permohonan penangguhan itu didengar hari ini dan berkata perlu ada pembelaan yang lengkap sebelum pemeriksaan balas untuk memberi anak guamnya perbicaraan yang adil.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran membantah permohonan itu didengar hari ini memandangkan pihak pendakwaan tidak bersedia kerana tarikh ditetapkan pada 7 Julai dan mereka memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan.

Hakim berkata beliau perlu mengimbangi permintaan kedua-dua pihak dan memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit pada minggu ini sambil menetapkan tarikh perbicaraan pada 4 Julai.

Zahid memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding membela diri sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuannya untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Zahid berkata beliau dinasihatkan oleh peguamnya untuk memperoleh salinan rakaman percakapan saksi bagi memastikan wujudnya sokongan antara keterangannya dan keterangan mereka, jika tidak katanya hak beliau untuk mendapat perbicaraan yang adil akan terjejas.

Saksi-saksi itu termasuk anaknya Nurulhidayah, adiknya Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan ahli perniagaan Khalid Mohamad Jiwa.

Pada 9 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi daripada SPRM kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi dan sebagai contoh, diugut agar memberikan keterangan yang berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.