- Iklan -
Berita

Anwar diminta dedah apa janjinya kepada Zahid, kluster mahkamah

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin mendesak supaya Anwar menjelaskan apakan alasan beliau mendapatkan sokongan kluster mahkamah Umno untuk menjadi perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang bekas ahli politik PKR hari ini mencabar presiden parti itu, Anwar Ibrahim untuk menyatakan apa yang dijanjikan kepada Ahmad Zahid Hamidi sehingga presiden Umno dan sekutunya yang menghadapi pertuduhan jenayah itu bersetuju menyokong beliau sebagai perdana menteri dua tahun lalu.

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin, yang kini bersama Bersatu, membuat gesaan tersebut berikutan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman semalam bahawa Zahid dan bekas presiden Umno Najib Razak menggesa ahli Parlimen Umno lain untuk memberikan sokongan mereka kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.

“Saya mendesak ahli Parlimen Port Dickson untuk wajib tampil memberi justifikasi mengenai kesediaan beliau bagi mendapatkan sokongan kluster mahkamah untuk membolehkan beliau menjadi perdana menteri.

“Apakah yang beliau janjikan kepada Zahid dan kluster mahkamah bagi memenuhi obsesi patologikalnya untuk bergelar seorang perdana menteri?” kata Afif, merujuk kepada gelaran terhadap sekumpulan pemimpin Umno yang berdepan pelbagai pertuduhan rasuah dan jenayah membabitkan berbilion ringgit.

Tajuddin yang baru-baru ini dipecat sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata pada sidang media semalam bahawa ahli Parlimen parti Melayu itu menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri walaupun dasar parti itu menetapkan “No DAP, No Anwar”.

Beliau sendiri pada mulanya tidak mahu menandatanganinya namun akhirnya bersetuju untuk memberikan tandatangan atas dasar hormat kepada Zahid sebagai presiden parti.

Pada Oktober 2020, MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan Najib menulis surat kepada istana menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri.

Dalam surat bertarikh 11 Oktober ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong itu, mereka berdua dan “sejumlah ahli Parlimen Umno” mengatakan menyokong Anwar.

Selain itu, ahli Parlimen veteran, Shahidan Kassim yang dipecat sebagai pengerusi Umno Perlis pada April 2021 turut mengesahkan sememangnya Zahid dan sekutunya menjalankan usaha “mendapatkan tandatangan” dalam kalangan ahli Parlimen Umno untuk menyokong Anwar.

Seorang pemimpin kanan sayap wanita Umno, Shamsiah M Yassin turut berkata Zahid juga mendekati sayap parti itu untuk memujuk mereka supaya menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataannya hari ini, Afif turut mempersoalkan PKR dan sekutunya, DAP kerana berdiam diri walaupun Anwar disahkan menerima sokongan daripada pemimpin Umno yang terpalit skandal.

Beliau berkata ia menunjukkan hipokrasi yang “cukup memualkan” selepas melemparkan pelbagai gelaran terhadap ahli politik Perikatan Nasional.