- Iklan -
Berita

Tajuddin dedah bagaimana Zahid kempen jadikan Anwar sebagai PM

Menurut Tajuddin, surat sokongan kepada presiden PKR itu ditandatangani secara tergesa-gesa walaupun beliau enggan berbuat demikian.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman menjawab soalan wartawan dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman menjawab soalan wartawan dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan dirinya merupakan saksi hidup untuk membuktikan bahawa memang terdapat surat akuan berkanun (SD) yang ditandatangani oleh ahli Parlimen parti itu sebagai sokongan terhadap Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri di mana ia bercanggah dengan dasar “No Anwar” yang disepakati dalam perhimpunan Umno.

Menurut Tajuddin, surat sokongan kepada presiden PKR itu ditandatangani secara tergesa-gesa walaupun beliau enggan berbuat demikian.

Bagaimanapun, dirinya akur dengan tindakan tersebut sebagai tanda menghormati Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Sampai nak bermasam muka (kalau tak tandatangan).

“Jadi, saya tandatangan jugalah,” katanya.

Sebelum ini MalaysiaNow melaporkan perbualan telefon antara Zahid dan Anwar selepas Perhimpunan Agung Umno pada Mac 2021.

Rakaman perbualan telefon berdurasi empat minit itu dipercayai berlaku beberapa jam selepas ucapan penggulungan Zahid pada perhimpunan tersebut di mana beliau mendapatkan mandat keputusan untuk memutuskan hubungan Bersatu.

Beliau kemudian mengumumkan perhimpunan tersebut  secara sebulat suara meluluskannya.

Zahid merupakan sekutu utama Anwar ketika mereka bersama-sama berjuang dalam Umno ketika ia dipimpin Dr Mahathir Mohamad pada tahun 90-an.

Anwar ketika itu dilihat sebagai bakal pengganti Mahathir sebelum perdana menteri itu memecat beliau daripada parti dan kerajaan pada 1998.

Zahid juga adalah antara teman rapat Anwar yang turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas Anwar dipecat.

Beliau kemudian mengalihkan sokongan dan berikrar untuk setia kepada Mahathir dan kemudian mendaki karier politiknya ketika Anwar meringkuk dalam penjara.

Klip rakaman perbualan telefon tersebut adalah susulan pendedahan pada Oktober 2020 di mana bekas perdana menteri Najib Razak dan Zahid menulis surat secara kepada Agong bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Dalam surat bertarikh 11 Oktober ditujukan kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mereka berdua dan “sejumlah ahli Parlimen Umno” mengatakan menyokong Anwar.

Pendedahan itu kemudiannya disusuli dengan beberapa siri pengakuan dan mengesahkan rancangan ketiga-tiga pemimpin tersebut yang berniat untuk menumbangkan kerajaan persekutuan.

Antaranya, ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa yang menunjukkan salinan surat ikrar setia ahli-ahli Parlimen Umno terhadap Anwar sehari selepas pemecatan beliau sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN).

Selain itu, ahli Parlimen veteran di Perlis, Shahidan Kassim mengesahkan sememangnya Zahid dan sekutunya menjalankan usaha “mendapatkan tandatangan” dalam kalangan ahli Parlimen Umno untuk menyokong Anwar.

Seorang pemimpin kanan sayap wanita, Shamsiah M Yassin berkata Zahid turut mendekati sayap parti itu untuk memujuk mereka supaya menyokong Anwar sebagai perdana menteri. 

“Dia (Zahid) suruh kami sokong Anwar. Kita kata ‘no way’. Dia suruh sebelum ni sokong Anwar, kita kata kita tak akan ambil Anwar,” katanya kepada MalaysiaNow.

Atas sebab itu, Tajuddin berkata Zahid turut berbohong kepada akar umbi Umno dan orang ramai terhadap kata-katanya bahawa tiada DAP dan tiada Anwar.

“Dia berbohong.”

Menurut Tajuddin, Hotel Tamu di Kuala Lumpur menjadi tempat ahli-ahli Parlimen parti menandatangani surat sokongan berkenaan.

“Saya duduk situ tunggu orang tandatangan.”

Dengar klip rakaman perbualan telefon antara Zahid dan Anwar: