- Iklan -
Berita

Laporan asal audit 1MDB dibentang kepada PAC jika tiada mesyuarat 24 Februari, kata Arul Kanda

Najib Razak meminta Arul hadir ke mesyuarat itu kerana beliau bimbang kandungan laporan audit tersebut akan diputar belit daripada perspektif politik.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam diberitahu bahawa laporan akhir asal audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai tera air “09” akan dihantar kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika mesyuarat pada 24 Februari 2016 tidak berlangsung.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 46, berkata beliau telah menerima panggilan telefon daripada Najib Razak sehari sebelum itu yang meminta beliau menghadiri mesyuarat tersebut.

Sebelum ini, bekas ketua audit negara Ambrin Buang memberi keterangan bahawa laporan awal audit khas 1MDB yang mempunyai tera air “09” sudah disiapkan menjelang 24 Februari 2016 dan akan diserahkan kepada PAC jika tiada permintaan untuk memindanya daripada Najib.

Ditanya oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram, Arul berkata Najib telah memberikan beberapa alasan kenapa beliau perlu menghadiri mesyuarat itu.

“Antaranya adalah untuk mempertahan kepentingan syarikat dan berkaitan skop pengauditan Jabatan Audit Negara dalam menentusahkan akaun 1MDB. Beliau bimbang kandungan laporan itu akan diputar belit daripada perspektif politik,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa seorang juruaudit kerajaan Nor Salwani Muhammad telah menyimpan salinan terakhir draf laporan audit dalam simpanan Jabatan Audit Negara meskipun diarah memusnahkan semua salinan laporan itu.

Seorang lagi saksi iaitu bekas ketua audit negara Madinah Mohamad turut memberi keterangan bahawa beliau membuat keputusan untuk tidak memusnahkan salinan laporan asal yang diberikan oleh Salwani kepadanya kerana mengandungi bukti penting mengenai dana kekayaan negara itu.

Susulan pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional kepada pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018, beliau telah menyerahkan salinan laporan audit 1MDB dengan tera air “09” itu kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Salinan laporan itu menjadi antara bukti penting yang digunakan oleh pendakwaan dalam kes laporan audit terhadap Najib dan Arul.

Pada prosiding hari ini, semasa disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Arul berkata sepanjang proses audit itu, beliau sendiri berdepan pelbagai kesukaran seperti mendapatkan dokumen daripada pengurusan 1MDB.

Shafee: Adakah anda maklumkan perkara ini kepada Najib?

Arul: Ketika itu saya tidak mempunyai isu spesifik yang boleh diketengah atau tonjolkan sama ada dari segi penipuan atau salah urus.

Bagaimanapun, saya mempunyai beberapa kebimbangan umum yang dicetuskan daripada penulisan artikel dan laporan berita. Saya berpendapat siasatan lanjut perlu dibuat malah saya telah mencadangkan kepada Datuk Seri untuk membawa masuk pihak keiga yang bebas, dalam kes ini Jabatan Audit Negara untuk menjalankan semakan.

Shafee: Apa reaksi PM (Najib)?

Arul: Ketika mengadakan perbincangan itu, beliau kata beliau akan pertimbangkan, beliau tidak kata ya atau tidak. Dalam tempoh seminggu atau dua minggu, terdapat pengumuman oleh Jabatan Audit Negara yang meminta kami menentusahkan akaun 1MDB.

Arul memberi keterangan pada perbicaraan Najib yang berdepan pertuduhan meminda laporan akhir audit 1MDB selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memanggilnya sebagai saksi.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul didakwa bersubahat melakukan pindaan itu bagi mengelakkan ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada 4 Julai ini.