- Iklan -
Berita

Pasaran buruh akan mengukuh pada separuh kedua 2022, kata MIDF Research

Firma penyelidikan itu turut berkata kadar pengangguran diunjurkan menurun pada tahun ini kepada 3.8% berbanding 4.6% pada 2021.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Buruh binaan melakukan kerja-kerja pembinaan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Buruh binaan melakukan kerja-kerja pembinaan di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Pasaran buruh Malaysia dijangka terus mengukuh pada separuh kedua, disokong pekerja dari Indonesia yang kembali ke negara mulai hari ini.

Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata bahawa Malaysia akan menerima kumpulan pertama pekerja asing Indonesia hari ini sejak pembukaan semula sempadan dan ketibaan mereka dijangka dapat mengurangkan kekurangan tenaga buruh di ladang kelapa sawit.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) berkata guna tenaga buruh telah menurun sebanyak 1.8% pada 2020 dan 2.9% pada 2021, lebih 100,000 pekerja berhenti kerja akibat pandemik Covid-19.

Pekerja bukan warganegara membentuk kira-kira 10% penduduk Malaysia yang bekerja.

“Kadar pengangguran Malaysia diunjurkan menurun pada tahun ini kepada 3.8% pada 2022 daripada 4.6% pada 2021, disokong oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi domestik dan asas ekonomi yang kukuh,” kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, ia berkata bahawa unjuran kadar pengangguran masih lebih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik yang mencatatkan 3.4%.

Pertumbuhan pekerjaan dijangka pada 2.5% (2021: 2.0%) manakala pengangguran diunjurkan menyusut sebanyak 15.0% tahun ini (2021: +3.0%).

“Dalam empat bulan pertama tahun 2022, pertumbuhan pekerjaan berada pada 3.0% tahun ke tahun dan pengangguran turun sebanyak 12.6% tahun ke tahun,” katanya.