- Iklan -
Berita

Perbicaraan bermula, pendakwaan mahu buktikan kesalahan Syed Saddiq ‘berniat jahat’

Menurut timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bukti keterangan tidak memihak kepada ahli Parlimen Muar itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram akan membuktikan kesemua kesalahan yang didakwa dilakukan ahli Parlimen Muar itu adalah berniat jahat dan tidak jujur.

Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata pihaknya akan bergantung kepada kombinasi keterangan terus, ikut keadaan dan dokumen dalam membuktikan kes terhadap tertuduh.

“Keterangan di bawah Seksyen 6, 7, 8 dan 9 Akta Keterangan 1950 langsung tidak memihak kepada tertuduh.

“Kami juga tidak akan menggunakan anggapan di bawah Seksyen 409A Kanun Keseksaan dalam membuktikan kes kami ke atas tertuduh kelak,” katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid.

Syed Saddiq, 29, yang memakai kemeja batik biru tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 9 pagi.

Selepas pernyataan pembukaan dibacakan, pendakwaan memanggil saksi pertamanya iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Taufik Awaluddin, 30, untuk memberi keterangan.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, S Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan dua pertuduhan pindaan berkaitan pecah amanah dengan mengeluarkan perkataan “curang” dan menukarkannya kepada “tidak jujur”.

Dua pertuduhan tersebut kemudian dibacakan semula kepada Syed Saddiq dan beliau mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu penolong bendahari Armada, Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.