- Iklan -
Berita

Apakah idea di sebalik insurans kesihatan sosial?

Kos penjagaan kesihatan yang terus meningkat setiap tahun, pakar berkata mungkin sudah tiba masa kerajaan tidak lagi menanggung perbelanjaan dalam sektor itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita berjalan di bangunan klinik pakar, Hospital Shah Alam, Selangor. Malaysia antara negara yang membuat pelaburan besar dalam sektor kesihatan awam sejak sekian lama bagi memastikan penjagaan kesihatan rakyat terjamin.
Seorang wanita berjalan di bangunan klinik pakar, Hospital Shah Alam, Selangor. Malaysia antara negara yang membuat pelaburan besar dalam sektor kesihatan awam sejak sekian lama bagi memastikan penjagaan kesihatan rakyat terjamin.

Pakar-pakar kesihatan dan ekonomi menyambut baik cadangan kerajaan untuk memperkenalkan sistem insurans kesihatan sosial bagi menggantikan sistem kesihatan percuma yang sedia ada.

Malaysia antara negara yang membuat pelaburan besar dalam sektor kesihatan awam sejak sekian lama bagi memastikan penjagaan kesihatan rakyat terjamin.

Rakyat Malaysia hanya perlu membayar RM1 untuk mendapatkan akses rawatan dan perubatan daripada klinik dan hospital kerajaan.

Pelaburan itu juga menjadikan sistem penjagaan kesihatan Malaysia antara yang terbaik dunia.

Namun ia memerlukan tanggungan kos dan subsidi tinggi daripada pihak kerajaan.

Menerusi sistem kesihatan percuma, belanjawan kesihatan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) diperoleh daripada belanjawan tahunan kerajaan seperti perkhidmatan lain.

Peruntukan tersebut merupakan hasil dan cukai kerajaan.

Pakar Kesihatan Awam, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kos kesihatan semakin tinggi setiap tahun menjadikan ia mungkin tidak dapat ditampung pada masa depan oleh bajet sedia ada.

“Jadi perlu ada mekanisme baru yang boleh tampung bajet kesihatan masa kini dan akan datang.

“Sistem sekarang juga membahagikan sistem awam (kerajaan) dan swasta yang mana swasta melibatkan pembayaran lebih tinggi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin sebelum ini berkata mengggunakan cukai kerajaan persekutuan bagi membiayai kos kesihatan adalah sesuatu yang “tidak lestari”.

Katanya, sukar untuk kerajaan meningkatkan belanjawan kepada KKM.

Khairy berkata kerajaan akan memberikan subsidi penuh kepada keluarga berpendapatan rendah.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM32.4 bilion untuk pengurusan dan pembangunan KKM, daripada keseluruhan RM322.5 bilion Belanjawan 2021.

Menerusi insurans kesihatan sosial, Zainal berkata ia merupakan mekanisme yang mana kerajaan mewujudkan agensi khas dengan sumber kewangan kerajaan dan juga dari rakyat menerusi insurans khas yang diwajibkan, mengikut kemampuan dan status ekonomi.

“Perbelanjaan untuk rawatan dan fasiliti yang diakreditasi oleh agensi tersebut akan dibayar melalui dana itu.

“Kos kerajaan dan individu dapat dikurangkan dan akses individu kepada perkhidmatan yang berkualiti dapat dijamin secara universal,” tambahnya.

Pakar ekonomi Barjoyai Bardai bersetuju perbelanjaan untuk sektor kesihatan mungkin tidak mampu untuk ditampung oleh kerajaan.

Katanya, sistem insurans itu boleh memastikan rakyat mendapat perlindungan penuh untuk perubatan pakar, pembedahan dan rawatan penyakit utama.

“Persoalannya adakah skim ini akan meningkatkan tahap perkhidmatan dan mengurangkan kos kepada kerajaan? Ini bergantung kepada banyak perkara,” katanya.

Barjoyai mencadangkan sistem hibrid yang menggabungkan hospital biasa dan rawatan khusus, yang mana insurans boleh digunakan untuk penyakit kronik manakala penyakit biasa boleh dirujuk kepada hospital besar.

Beliau turut menjangkakan kualiti hospital sedia ada akan dinaik taraf menyamai hospital swasta sekiranya sistem tersebut dilaksanakan.

Menurutnya, sistem itu menggabungkan aspek kewangan dan perkhidmatan perubatan.

Ini kerana syarikat-syarikat insurans melihat perkhidmatan perubatan sebagai satu perniagaan.

Katanya, kaedah insurans menggunakan prinsip kebarangkalian (probability) yang mana setiap pemegang polisi akan dilindungi.

Namun kemungkinan seseorang itu untuk jatuh sakit mungkin hanya 1%.

“Kerana kebarangkalian itu rendah, kos yang dikenakan juga rendah.”

Dalam pada itu, Zainal berkata pelbagai model dan pelaksanaan sistem insurans kesihatan tersedia, bergantung kepada ekonomi sesebuah negara.

Katanya, antara contoh yang baik ialah Turki, Filipina, Thailand, Perancis dan United Kingdom.