- Iklan -
Berita

Polis cadang kerajaan pinda akta berkait dadah selaras perkembangan semasa

Ayob Khan Mydin Pitchay berkata jenis dadah yang kini banyak disalah guna penagih di negara ini ialah syabu dan pil ekstasi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut laporan PBB, ratusan tan metamfetamin dirampas sejak dua tahun lalu di Asia Timur dan Asia Tenggara. Gambar: AFP
Menurut laporan PBB, ratusan tan metamfetamin dirampas sejak dua tahun lalu di Asia Timur dan Asia Tenggara. Gambar: AFP

Polis mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda atau menggubal beberapa akta berkaitan hukuman dadah selaras dengan perkembangan semasa salah guna bahan terlarang itu di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sebagai contoh, jenis dadah yang kini banyak disalah guna penagih di negara ini ialah syabu dan pil ekstasi berbanding heroin sebelum ini.

“Sebelum ini, bagi heroin 15g memang hukuman gantung tetapi bagi syabu dan pil ekstasi ialah 50g (hukuman gantung)… jadi kita nak kurangkan lagi berat bagi syabu kepada 15g.

“Cadangan ini telah dibawa kepada KDN (Kementerian Dalam Negeri) sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Seminar Isu Sosial Masyarakat: Situasi, Cabaran dan Pencegahan Dalam Era Masa Kini di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) semalam.

Beliau berkata selain itu, pihaknya sedang menyenaraikan bahan kimia terlarang yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis baru seperti syabu, ketamin, pil yaba dan pil kuda.

Katanya, setakat ini lebih 60 bahan kimia terlarang tersenarai dalam penggunaan penghasilan dadah jenis baru di Malaysia berbanding lebih 900 bahan kimia terlarang untuk tujuan tersebut yang tersenarai di luar negara.

Selain itu, Ayob berkata PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Malaysia (JKM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), akan terus memperkukuhkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang peningkatan penyeludupan ganja dari Thailand, susulan keputusan kerajaan negara itu membenarkan rakyatnya menanam ganja berkuat kuasa 9 Jun lepas.

Beliau berkata keputusan Thailand itu dilihat akan memberi impak kepada aktiviti penyeludupan ganja ke negara ini ekoran tiada lagi sekatan pergerakan tumbuhan itu di negara berkenaan walaupun ia masih dilarang di Malaysia.

“Pergerakan ganja di negara itu tiada had lagi. mungkin semua akan tunggu di sempadan untuk masuk ke Malaysia dan semalam sahaja sebanyak 860 kg ganja yang cuba diseludup masuk dari Thailand ke negara ini berjaya dirampas,” katanya.

Mengulas tentang pemansuhan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah, beliau berkata ia tidak akan memberi kesan negatif pada usaha PDRM untuk memerangi jenayah dadah dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan.