- Iklan -
Berita

Wang kepada Zahid untuk kukuhkan UKSB, kata bekas pengarah

Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani berkata dengan sokongan Zahid, pihaknya dapat mengurangkan gangguan daripada pesaing perniagaannya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama

Bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bantuan kewangan yang diberikannya kepada Ahmad Zahid Hamidi bertujuan mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai kontraktor Kementerian Dalam Negeri (KDN), telah berjaya mendapat sokongan bekas timbalan perdana menteri itu.

Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, berkata selain mendapat sokongan daripada Zahid, pihaknya turut dapat mengurangkan gangguan daripada pesaing-pesaing lain yang menjalankan perniagaan sama.

“Memandang Zahid meminta bantuan, kami bantu sahaja. Bagi kami yang utama adalah untuk memastikan perniagaan kami tidak diganggu memandangkan ketika itu ada beberapa syarikat lain yang cuba melobi kerja yang sedang kami jalankan,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya (TPR) Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Wan Quoris berkata tanpa pertolongan dan bantuan Zahid, syarikatnya tidak mungkin berjaya mengekalkan dan melanjutkan kontrak-kontrak berkaitan visa luar negara (VLN) selain mengakui bahawa beliau pernah beberapa kali menyerahkan wang tunai kepada Zahid.

“Wang tunai ini diberikan kepada Zahid setelah beliau meminta tolong UKSB untuk menghulur bantuan sebagai sumbangan politik kepada parti Umno. Zahid tidak minta secara terangan, tetapi daripada percakapannya saya faham yang beliau mengharapkan sumbangan wang daripada UKSB.

“Wang yang UKSB serah setiap bulan adalah berbentuk wang tunai, semuanya menggunakan Dolar Singapura. Ini adalah permintaan Datuk Seri kepada kami,” katanya.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-15, Harry Lee Vui Khun (Harry Lee) yang juga merupakan bekas pengarah UKSB memberitahu mahkamah bahawa syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak sistem visa luar negara (VLN).

Selain itu, saksi pendakwaan ke-16 itu juga berkata sudah menjadi resmi (kebiasaan) orang perniagaan cuba mencari peluang di mana-mana kementerian atau agensi kerajaaan untuk mendapatkan kontrak.

“Bagi syarikat UKSB, keperluan kami untuk berjumpa dengan Zahid pada ketika itu adalah untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai kontraktor pembekal sistem pemprosesan visa tunggal untuk KDN supaya tiada orang lain yang boleh ganggu perniagaan UKSB.

“Harry Lee ada meminta bantuan saya kerana pada ketika itu UKSB tidak ada orang dalam yang boleh bercakap dengan Zahid. Atas sebab dia (Harry Lee) tahu saya kenal dengan Zahid, maka dia minta saya untuk cuba berhubung terus dengan Zahid. Tujuan kami adalah untuk menerangkan mengenai perniagaan syarikat UKSB,” katanya.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung 13 Jun depan.