- Iklan -
Berita

Najib tidak mahu saya masuk campur urusan 1MDB, kata bekas menteri kewangan kedua

Ahmad Husni Hanadzlah berkata beliau telah menasihati Najib mengenai risiko rancangan 1MDB untuk melabur dalam PetroSaudi International Ltd namun tidak diendahkan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Najib Razak menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. Gambar: AFP

Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam bahawa Najib Razak meminta supaya beliau tidak campur tangan dalam hal 1MDB ketika beliau menasihati bekas perdana menteri itu mengenai risiko rancangan 1MDB untuk melabur dalam syarikat PetroSaudi International Ltd .

Husni, 70, berkata beliau menyuarakan kerisauan itu pada hujung 2009 sebaik sahaja mengetahui 1MDB membuat pelaburan usaha sama dengan syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak tersebut daripada pegawai Kementerian Kewangan.

“Saya pergi berjumpa dengan Najib di pejabat beliau dan menyatakan kepadanya 1MDB tidak sepatutnya membuat pelaburan usaha sama dengan Petrosaudi kerana syarikat ini masih dalam proses mencari gali minyak. Jadi sekiranya minyak tidak ditemukan, pelaburan tersebut akan hangus.

“Saya juga beritahu PM yang 1MDB tiada pengalaman dalam bidang tersebut dan ia sepatutnya diserahkan kepada Petronas tetapi memandangkan beliau memberikan respons sebegitu, saya tidak menjawab lagi,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-20 itu turut mengesahkan bahawa pertemuan tersebut hanya berlaku antara mereka berdua dan sejak itu, beliau langsung tidak dilibatkan dalam sebarang keputusan atau dimaklumkan mengenai pelaburan 1MDB.

Terdahulu, Husni berkata pada pertengahan 2009, beliau turut menasihati Najib mengenai risiko penubuhan 1MDB apabila mengetahui kerajaan sudah memutuskan untuk mengambil alih syarikat itu daripada kerajaan Terengganu melalui Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

“Saya berjumpa dengan Najib di pejabatnya untuk memberitahu 1MDB tidak sepatutnya ditubuhkan tanpa kajian kebolehlaksanaan. Tujuan kajian kebolehlaksanaan adalah untuk membuat penilaian secara praktikal bagi cadangan sesuatu projek serta risiko dari segi perniagaan dan kewangan.

“Kajian ini sangat penting bagi memastikan pelaburan 1MDB akan mendatangkan keuntungan kepada kerajaan. Bagaimanapun, apabila saya memberitahu PM mengenai risiko berkenaan, beliau hanya menjawab ‘saya akan teruskan’. Jadi saya tidak jawab apa-apa lagi,” katanya.

Saksi itu juga berkata pada awal tahun 2015, Najib telah memanggilnya untuk menyelesaikan masalah 1MDB yang dikatakan sarat dengan hutang yang tinggi, bagaimanapun beliau tidak bersetuju kerana tidak pernah terlibat dengan urusan syarikat tersebut.

“Apabila terus didesak oleh Najib untuk menjalankan tugas itu, saya telah bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wahid Omar supaya beliau mengambil alih tetapi Wahid juga tidak bersetuju,” katanya.

Menurut Ahmad Husni, beliau bersama setiausaha sulitnya Imran Yasin Mohd Yusof telah merangka “Pelan Rasionalisasi 1MDB” dan antara tugas utamanya ialah mendapatkan maklumat berkaitan kedudukan kewangan, aset, senarai tanggungan hutang semasa dan pelaburan syarikat itu.

“Peranan saya dan Imran Yasin adalah setakat merangka pelan sahaja tetapi pelaksanaan adalah di bawah tanggungjawab pengurusan 1MDB dan saya tidak terlibat langsung.

“Berdasarkan kandungan penyata kewangan yang saya peroleh, saya dapati hutang 1MDB pada 20 Mei 2015 adalah sebanyak RM48.571 bilion manakala aset syarikat itu berjumlah RM49.895 bilion,” katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.