- Iklan -
Berita

Ringgit dijangka stabil berbanding dolar AS pada separuh kedua 2022

HSBC juga menjangka mata wang tempatan akan mengukuh pada paras 4.28 menjelang akhir tahun.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail pelancong berdiri di hadapan papan pertukaran mata wang asing di premis pengurup wang Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Gambar fail pelancong berdiri di hadapan papan pertukaran mata wang asing di premis pengurup wang Kuala Lumpur. Gambar: AFP

HSBC menjangka ringgit stabil berbanding dolar AS pada separuh kedua 2022 dan mengukuh ke paras 4.28 menjelang akhir tahun.

Ketua pegawai pelaburan perbankan swasta global dan harta HSBC bagi Asia Tenggara James Cheo berkata ringgit dijangka mengukuh memandangkan sentimen pasaran global yang bertambah baik.

“Permulaan separuh pertama tahun ini sangat tidak menentu dan kami percaya ringgit akan stabil ke arah paras 4.28 pada akhir tahun ini apabila sentimen pasaran global bertambah baik,” katanya semasa sidang media mengenai “Prospek Pelaburan Separuh Kedua 2022 HSBC” yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Hari ini, ringgit dibuka pada 4.39 berbanding dolar AS dan mencecah paras 4.40 berbanding dolar AS pada 19 Mei, 2022, yang mana ia merupakan kadar terendahnya sejak Mac 2020.

Cheo berkata HSBC melihat trend aliran masuk ekuiti daripada pelabur asing yang berterusan setakat ini susulan pemulihan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan pembukaan semula sempadan bagi pelancongan.

Mengenai perkembangan lain, Cheo berkata beliau menjangkakan Bank Negara Malaysia akan meningkatkan kadar dasar sebanyak 50 mata asas lagi dan kadar dasar semalaman (OPR) dijangka dinaikkan sebanyak 2.5% pada penghujung tahun selepas menaikkan kadar dasarnya sebanyak 25 mata asas baru-baru ini.

Beliau juga berkata Malaysia berada di landasan pertumbuhan kukuh dan menjangka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara berada pada 5.5% tahun ini susulan harga komoditi yang tinggi dan aktiviti pembuatan yang rancak.

Cheo berkata ekonomi Malaysia meningkat sebanyak 5% pada suku pertama 2022 ke paras seperti sebelum pandemik dan dengan impak sekatan pergerakan yang semakin mereda, penggunaan swasta kembali cergas dan pelaburan stabil, walaupun ini membawa kepada pertumbuhan import mengatasi eksport.

Sementara itu, ketua pegawai pelaburan perbankan swasta global HSBC bagi Asia, Fan Cheuk Wan menjangka kitaran ekonomi global berterusan namun pada kadar yang lebih perlahan manakala inflasi menurun secara perlahan-lahan.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK menyusut kepada 3.4% pada 2022 dan 2.9% pada 2023, turun dari 5.8% pada 2021.

“Kami menjangka kejutan tenaga global dan cabaran rantaian bekalan melonjakkan inflasi global kepada 7.5% pada 2022 sebelum menyederhana kepada 5.1% pada 2023,” kata Fan.

Beliau berkata dunia berdepan dengan beberapa kejutan struktur dan pelabur perlu menyusun semula portfolio mereka untuk menyesuaikan diri dengan cabaran ini.

“Krisis Covid-19, perang Rusia-Ukraine dan revolusi kemampanan menjejaskan rantaian bekalan, pasaran buruh, sumber tenaga dan prasarana.

“Perubahan struktur ini akan memerlukan pelaburan besar yang seterusnya akan membantu meningkatkan pertumbuhan, tetapi ia juga akan melonjakkan kos dan menyebabkan inflasi menjadi lebih tinggi berbanding pada dekad lepas.

“Oleh itu, kami menjangka prospek pelaburan bagi aset berisiko akan bertambah baik secara perlahan-lahan pada separuh kedua 2022 dengan sokongan pertumbuhan sederhana ekonomi global dan kebimbangan stagflasi yang mereda,” katanya.