- Iklan -
Berita

Bekas PAT penerima tunggal anugerah Tun, sertai 1,020 lain sempena keputeraan Agong

Mohamed Hashim Mohd Ali juga merupakan pengerusi kepada Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis Malaysia) selain adik ipar kepada bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar Bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia Mohamed Hashim Mohd Ali yang diterbitkan Majlis Olimpik.
Gambar Bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia Mohamed Hashim Mohd Ali yang diterbitkan Majlis Olimpik.

Seramai 1,021 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan Pingat Persekutuan 2022 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia Mohamed Hashim Mohd Ali mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran “Tun”.

Seramai 18 individu menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri”.

Tiga pegawai kanan perkhidmatan awam yang menerima PSM ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Mazlan Yusoff, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh dan Setiausaha Kerajaan Johor Azmi Rohani.

Turut menerima PSM ialah Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Mohd Annuar Zaini, Panglima Tentera Udara Jeneral Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan bekas timbalan ketua polis negara Mazlan Lazim.

Selain itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia Low Kian Chuan, Presiden dan Pengarah Eksekutif Malayan Banking Berhad Abdul Farid Alias, Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Tajuddin Atan dan Pengarah Eksekutif United U-Li Corporation Berhad Lee Yoon Kong.

Turut menerima PSM Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad Che Khalib Mohamad Noh, Pengasas dan Pengarah Urusan T.A.G. Marine Sdn Bhd Noormustafa Kamal Yahya, bekas menteri tanah dan pembangunan Koperasi dan bekas ketua menteri Sabah Osu Sukam, bekas menteri kesihatan dan bekas presiden MIC S. Subramaniam, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri serta bekas setiausaha agung MCA Ong Ka Chuan, bekas menteri pendidikan tinggi dan juga Pengerusi Felda Idris Jusoh serta bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah merupakan antara 23 penerima Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran “Datuk”.

Penerima PJN lain ialah Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Rostam Affendi Salleh, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Azhahari Kamal Ramli, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Mohd Yusof, Duta Besar Malaysia ke Thailand Jojie Samuel, Timbalan Gabenor Bank Negara Chew Cheng Lian dan bekas pemain badminton negara Foo Kok Keong.

Tiga penerima darjah kebesaran Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran “Datuk” ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan Jabatan Perdana Menteri Jazmanie Shafawi, Ketua Protokol di Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Wan Zaidi Wan Abdullah dan Juruiring Yang di-Pertuan Agong ke-14, Laksamana Pertama Shahrum Shaim.

Seramai 48 individu menerima darjah kebesaran Johan Mangku Negara (JMN) termasuk Pengarah Bahagian Perancangan Kementerian Kesihatan Dr Rozita Halina Tun Hussein.

Bagi darjah kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) pula sebanyak 67 individu disenaraikan sebagai penerima termasuk bekas Juruiring Perdana Menteri Nik Ezanee Mohd Faisal.

Penerima tunggal bagi Darjah Johan Setia Diraja (JSD) dikurniakan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman Muhammad Abdul Halim.

Seramai 183 individu dikurniakan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) termasuk Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia Kuan Chee Heng, Exco Pergerakan Puteri Umno Naszriah Ngasri dan Penasihat Persatuan OKU Sentral Mohd Radzi Wahab.

Tahun ini juga menyaksikan seramai tujuh individu dianugerahkan Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) dan 250 dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (AMN) termasuk Editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohamad Bakri Darus manakala 377 individu menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN) serta 43 Pingat Bentara Setia Diraja (BSD).