- Iklan -
Berita

Apakah kesan terhadap Najib selepas kehilangan darjah kebesaran?

Walaupun pengikut setianya mungkin akan terus memberi sokongan, namun bagi sebahagian lain akan tawar hati untuk terus bersama bekas perdana menteri itu lagi, kata penganalisis.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu di mana beliau dihantar ke Penjara Kajang selepas rayuan akhirnya gagal.
Bekas perdana menteri Najib Razak melambaikan tangan di Istana Kehakiman Putrajaya pada 23 Ogos lalu di mana beliau dihantar ke Penjara Kajang selepas rayuan akhirnya gagal.

Penarikan semula darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Najib Razak oleh Selangor dan Pulau Pinang dijangka akan menjejaskan lagi populariti bekas perdana menteri itu dalam kalangan pengundi di atas pagar atau golongan yang tidak menyokong Umno atau Barisan Nasional (BN), kata penganalisis.

Pada 12 September, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik semula darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Najib selepas berunding dengan Dewan di-Raja Selangor.

Najib pada 2004 dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada 1992.

Dua hari kemudian, Yang di-Pertua Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak pula bersetuju dengan keputusan kerajaan negeri membatalkan Keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama yang dikurniakan pada 2009.

Penarikan semula darjah kebesaran daripada kedua-dua negeri ini dibuat selepas Najib yang juga ahli Parlimen Pekan dihantar ke Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Sebelum itu, Istana Negeri Sembilan pada 26 Oktober 2018 membatalkan pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Najib yang dikurniakan pada 2005.

Untuk rekod, Najib masih mempunyai lapan darjah kebesaran dari Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Penganalisis politik dari USM Ahmad Atory Hussain, berkata penarikan darjah kebesaran dari Selangor dan Pulau Pinang baru-baru ini sememangnya akan menjejaskan reputasi bekas presiden Umno itu apabila ia menambah persepsi negatif terhadap beliau susulan keputusan mahkamah.

"Dengan ketegasan hakim, baru ramai percaya yang Najib memang terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah bertaraf mega," katanya kepada MalaysiaNow.

"Selama ini ada yang menganggap pendakwaan terhadap beliau sebagai propaganda dan fitnah, namun kini sudah terang lagi bersuluh."

Namun begitu,  penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun melihat perkara ini tidak menjejaskan sokongan dalam kalangan penyokong tegar beliau sama ada dari dalam atau luar Umno.

Katanya, golongan ini mungkin sudah sebati dengan slogan "malu apa bossku" dan menganggap perkembangan ini sebagai pendakwaan yang bersifat politik.

"Justeru, kemungkinan besar sokongan mereka kekal kukuh terhadap Najib, meskipun teguran telah dibuat oleh pihak istana," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persepsi dalam kalangan penyokong Umno yang tidak disifatkan sebagai tegar, Atory menjangkakan sokongan golongan ini akan beralih kepada parti Melayu atlernatif seperti Bersatu, PAS dan Pejuang.

"Tentu sekali situasi ini akan mengubah persepsi sokongan penyokong Umno yang bukan kategori tegar," katanya. 

"Sedangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu di mana kes Najib dianggap fitnah pun sudah ramai penyokong lari ke Bersatu, PAS dan PKR serta Amanah, apatah lagi bila kes ini sudah diputuskan oleh sembilan hakim.

"Tentulah ramai penyokong akan tawar hati dan mula bawa diri mereka."