- Iklan -
Berita

Agong terima darjah tertinggi Turkiye

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi ketua negara Asean pertama menerima anugerah berprestij tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima darjah Turkish Order of the State daripada kerajaan Turkiye. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima darjah Turkish Order of the State daripada kerajaan Turkiye. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima darjah tertinggi kerajaan Turkiye, Turkish Order of the State sempena Lawatan Negara ke Turkiye.

Anugerah tertinggi yang disampaikan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden itu menjadikan beliau sebagai ketua negara Asean pertama menerima anugerah berprestij tersebut.

Sultan Abdullah antara lima pemimpin negara yang menerima pingat tersebut di bawah pimpinan Erdogan selain Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz, Raja Belgium Raja Philip, Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah dan Presiden Tunisia Beji Caid Essebsi. 

Sementara itu, dalam majlis sama, Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan anugerah darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada Erdogan. 

Darjah kebesaran D.M.N dikurniakan kepada sultan atau raja yang memerintah negeri namun darjah kebesaran itu juga boleh dikurniakan secara kehormat kepada warga asing serta orang paling dihormati.

Selain Erdogan, antara penerima kehormat luar negara pernah dikurniakan D.M.N sebelum ini antaranya Ratu Elizabeth, Emir Qatar Sheikh Hamad Khalifa Al-Tahni, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz dan isteri Sultan Brunei Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.