- Iklan -
Berita

Bekalan ayam di Johor pulih 2 minggu lagi

Negeri itu mengalami kekurangan bekalan baru-baru ini berikutan permintaan tinggi semasa musim perayaan Aidilfitri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Ampang, Kuala Lumpur.
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Ampang, Kuala Lumpur.

Kerajaan negeri menjangkakan bekalan ayam di Johor pulih dalam tempoh dua minggu lagi selepas kekurangan bekalan baru-baru ini berikutan permintaan tinggi semasa musim perayaan Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han berkata masalah kekurangan bekalan ayam dijangka selesai susulan pendekatan kerajaan untuk melaksanakan sekatan eksport ayam segar ke luar negara berkuat kuasa 1 Jun lepas.

“Masalah bekalan ayam di negeri ini akan kembali kepada paras normal selepas musim perayaan ini dan ia selaras dengan usaha kerajaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Ladang Telur Teo Seng Capital, di Yong Peng, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan, Ling Tian

Menurut Lee, semenjak skim kawalan harga maksimum ayam dikuatkuasakan pada Februari lepas di negeri itu, sebanyak RM101,300 kompaun telah dikeluarkan membabitkan 42 kes.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata orang ramai tidak perlu panik dengan bekalan telur di negeri ini kerana ia sentiasa mencukupi malah bekalan telur turut dikeluarkan melebihi permintaan.

“Saya dimaklumkan ladang telur di Yong Peng ini mampu mengeluarkan sehingga empat juta biji telur sehari dengan pelbagai gred, sedangkan permintaan pasaran telur dari ladang berkenaan hayalah sekitar tiga juta biji sahaja untuk sehari,” katanya.