- Iklan -
Berita

Lebih 3,000 tan produk coklat Kinder ditarik balik selepas kes salmonella

Produk coklat yang dibuat di Arlon, Belgium, didapati tercemar salmonella mengakibatkan 150 kes di sembilan negara Eropah.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Penarikan lebih 3,000 tan  produk coklatnya memberi tamparan hebat terhadap syarikat Ferrero yang merupakan sarikat gergasi konfeksi di Itali. Gambar: AFP
Penarikan lebih 3,000 tan produk coklatnya memberi tamparan hebat terhadap syarikat Ferrero yang merupakan sarikat gergasi konfeksi di Itali. Gambar: AFP

Lebih dari 3,000 tan produk Kinder ditarik balik daripada pasaran berikutan kebimbangan dicemari salmonella menyebabkan kerugian puluhan juta euro, kata seorang pegawai syarikat itu kepada akhbar harian Le Parisien, Perancis.

Ketua Ferrero France Nicolas Neykov berkata pencemaran itu berpunca “dari penapis dalam tong pemprosesan mentega”, di sebuah kilang produk itu di Arlon, Belgium. 

Beliau berkata, pencemaran itu mungkin berpunca daripada manusia atau bahan mentah yang digunakan oleh kilang.

Produk coklat yang dibuat di Arlon, Belgium itu didapati mengandungi salmonella, mengakibatkan 150 kes direkodkan di sembilan negara Eropah.

Lapan puluh satu daripada kes itu direkodkan di Perancis di mana kebanyakannya melibatkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Penutupan kilang dan kebimbangan kesihatan akibat pencemaran bakteria itu merupakan tamparan kepada syarikat Itali Ferrero yang merupakan pemiliknya.

Lebih-lebih lagi ketika orang ramai masih dalam musim cuti Hari Paskah di mana produk coklat Kinder menjadi tumpuan ramai.

“Krisis ini sangat menyedihkan. Ia merupakan penyingkiran produk terbesar dalam tempoh 20 tahun lalu,” kata Neykov.

Bagaimanapun, syarikat itu berharap dapat memulakan semula operasi kilang di mana 50% pemeriksaan kesihatan dan keselamatan akan dijalankan oleh “makmal luar” tidak seperti sebelum ini di mana syarikat itu hanya melakukan pemeriksaan dalaman sahaja.

“Kami telah memohon pembukaan semula operasi mulai 13 Jun bagi melancarkan semula pengeluaran secepat mungkin,” tambahnya.