- Iklan -
Luar Sana

WhatsApp setuju lebih telus tentang perubahan dasar, kata EU

Syarikat itu sahkan data peribadi pengguna tidak dikongsi dengan pihak ketiga atau syarikat Meta lain, termasuk Facebook, untuk tujuan pengiklanan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
WhatsApp bersetuju untuk menjadi lebih telus mengenai perubahan kepada dasar privasinya yang diperkenalkan pada 2021, kata Suruhanjaya Eropah, 6 Mac. Gambar: AFP
WhatsApp bersetuju untuk menjadi lebih telus mengenai perubahan kepada dasar privasinya yang diperkenalkan pada 2021, kata Suruhanjaya Eropah, 6 Mac. Gambar: AFP

WhatsApp bersetuju untuk menjadi lebih telus mengenai perubahan kepada dasar privasinya yang diperkenalkan pada 2021, kata Suruhanjaya Eropah pada Isnin, susulan aduan badan pengguna di seluruh rantau itu.

Pertubuhan Pengguna Eropah (BEUC) dan pihak berkuasa pengguna European Network memberitahu WhatsApp tahun lepas yang ia tidak menjelaskan perubahan tersebut dengan menggunakan bahasa yang jelas dan mudah difahami, melanggar undang-undang blok itu.

Pengawal selia kebangsaan ahli Kesatuan Eropah (EU) boleh menyekat syarikat kerana pelanggaran.

WhatsApp kini bersetuju untuk menerangkan perubahan kepada kontrak pengguna EU dan bagaimana ia boleh menjejaskan hak mereka, selain bersetuju memaparkan secara jelas kemungkinan untuk pengguna menerima atau menolak perubahan dan memastikan pengguna dengan mudah boleh menutup pemberitahuan pop timbul pada kemas kini.

Syarikat itu juga mengesahkan data peribadi pengguna tidak dikongsi dengan pihak ketiga atau syarikat Meta lain, termasuk Facebook, untuk tujuan pengiklanan.

"Pengguna ada hak untuk memahami perkara yang mereka bersetuju dan apa yang diperlukan oleh pilihan itu secara konkrit, supaya mereka boleh memutuskan sama ada mahu terus menggunakan platform itu," kata Pesuruhjaya Keadilan Didier Reynders.