- Iklan -
Berita

Merungkai masalah kesesakan trafik di Lembah Klang

Kesesakan trafik di Lembah Klang semakin kerap berlaku lebih-lebih lagi di ibu negara tanpa mengira waktu puncak atau tidak.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Pakar berkata keadaan trafik yang sesak di Kuala Lumpur adalah kesinambungan daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pakar berkata keadaan trafik yang sesak di Kuala Lumpur adalah kesinambungan daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sejak beberapa minggu lalu, kesesakan trafik sering berlaku di Lembah Klang tanpa mengira waktu, cuaca atau keadaan jalan.

Di pusat bandar Kuala Lumpur sahaja, kesesakan yang dahulu dikaitkan dengan pekerja pulang ke rumah, namun kini berlaku sepanjang hari menyebabkan pemandu terperangkap dalam perjalanan walaupun telah merancangnya.

Laporan Data Indeks baru-baru ini menunjukkan kesesakan trafik pada waktu puncak di Kuala Lumpur pada minggu lalu semakin teruk berbanding 2019, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Persoalan timbul berhubung punca mengapa kesesakan teruk ini boleh berlaku dan apa yang boleh dibuat bagi menanganinya.

Pakar keselamatan jalan raya Rozmi Ismail dari UKM berkata, tempoh sekarang merupakan waktu orang ramai menggunakan peluang kebebasan bergerak selepas kerajaan mengumumkan peralihan dari fasa pandemik kepada endemik.

“Ia kesinambungan kesesakan jalan raya yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri lalu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Akibatnya, kesesakan jalan raya berlaku hampir setiap hari, termasuk hari minggu tanpa mengira waktu puncak atau tidak.”

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof mengumumkan kerajaan akan membina tiga lebuh raya baru bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.

Lebuh raya itu ialah Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway, Putrajaya–Bangi Expressway dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway.

Namun, Rozmi berkata pembinaan jalan raya baru akan mengambil masa yang lama dan tidak dapat mengejar kadar pertumbuhan pemilikan kenderaan di Malaysia.
 
Setakat tahun 2019, kementerian pengangkutan memaklumkan sebanyak 31.2 juta unit kenderaan bermotor didaftarkan, termasuk kenderaan komersial dan motorsikal.

Angka itu meningkat 3.02 juta daripada angka pada 2018 yang mencatatkan kira-kira 28.8 juta kenderaan didaftarkan.

Ia selari dengan trend peningkatan jumlah pendaftaran kenderaan sejak 2010, iaitu sekitar 20 juta unit kenderaan.

Pakar keselamatan jalan raya Law Teik Hua berkata, berdasarkan trend pembukaan di bandar-bandar seluruh dunia, pengangkutan awam masih dianggap sebagai mod pengangkutan yang tidak selamat dan tidak mencapai populariti semula berbanding mod lain.

“Motorsikal atau kereta kecil mungkin menjadi pilihan mod pengangkutan tatkala ekonomi dibuka dan keperluan untuk bergerak meningkat,” kata Law yang merupakan pengarah Pusat Kajian Keselamatan Jalan, UPM kepada MalaysiaNow.

“Hasilnya, ia boleh menjadi sebab peningkatan trafik di jalan raya.”

Menurut Law, penyedia pengangkutan awam masih perlu berusaha menambat semula kepercayaan awam terhadap perkhidmatan mereka.

Pemerkasaan pengangkutan awam turut disokong oleh Rozmi.

Katanya, ia bagi mengurangkan penggunaan kereta persendirian.

Jelasnya, peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya bukan sahaja memburukkan kesesakan trafik malah meningkatkan kadar kemalangan.

Alternatif mod pergerakan juga disediakan oleh kenderaan dalam kategori mikromobiliti yang semakin mendapat tempat.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengumumkan garis panduan kenderaan kategori itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Kenderaan mikromobiliti seperti basikal dan skuter elektrik digunakan untuk menambah baik mobiliti awam di beberapa negara maju, sekali gus menjadi alternatif kepada pemilikan kenderaan.

Dengan saiz yang kecil dan bersifat fleksibel, persoalan timbul sama ada ia mampu menggantikan fungsi kenderaan konvensional.

“Objektif mikromobiliti ialah untuk menangani beberapa isu bandar. Dengan memberi insentif kepada individu untuk menggunakan peranti mobiliti mikro dan bukannya kereta, mikromobiliti boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Dengan adanya lebih banyak kenderaan mikromobiliti di jalan raya, terutamanya untuk lawatan jarak dekat, ia akan mengurangkan keperluan individu untuk memandu,” kata Law.

Katanya, sistem pengangkutan yang ampuh memerlukan sejumlah mod alternatif yang mana mikromobiliti menjadi sebahagian komponen penting.

Bagaimanapun, Law berkata Malaysia tidak seharusnya meniru bulat-bulat polisi dan implementasi penggunaan mikromobiliti di negara lain.

Ini disebabkan oleh keadaan dan budaya lalu lintas negara kita sangat berbeza dengan negara luar, terutamanya dari segi keselamatan jalan raya.

“Bagi mengekalkan keselamatan awam, penggunaan mod mikromobiliti mesti dirancang dengan betul dan dilaksanakan dengan cara yang berkesan.

“Mempunyai kawasan yang ditetapkan di pusat bandar mikromobiliti termasuk basikal dan pejalan kaki, harus dipertimbangkan,” tambahnya.

Terdapat juga perbincangan mengenai landskap urban yang sekian lama mengutamakan kereta berbanding manusia.

Di beberapa negara maju, sesetengah lebuh raya digantikan dengan taman dan ruangan awam lain.  

Namun bagi Rozmi, dia tidak pasti sama ada idea itu mampu dilaksanakan di Malaysia untuk ketika ini.

“Saya tidak nampak bila kita akan mencapai tahap negara maju.

“Tiada perubahan besar dalam pengangkutan awam. Kereta api laju pun terhad kepada negeri-negeri tertentu sahaja,” katanya.