- Iklan -
Berita

Kerajaan digesa ambil tindakan proaktif tangani cacar monyet

Gerakan berkata sistem kesihatan dan ekonomi masih bergelut untuk pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai melalui laluan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Orang ramai melalui laluan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Gerakan hari ini menggesa kerajaan untuk mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani kemungkinan penularan wabak cacar monyet dalam negara, mengatakan Malaysia tidak lagi boleh menutup sempadannya bagi kemasukan pelawat luar negara.

Naib Presiden Gerakan Baljit Singh berkata walaupun negara dilihat tidak berdepan ancaman serius, pihak berkuasa harus bersiap-siaga berdepan “sebarang kemungkinan”.

“Lapangan terbang antarabangsa dan pengangkutan awam yang membawa pelancong perlu laksanakan protokol untuk diagnosis, rawatan dan kuarantin jika ada kes positif disahkan,” katanya.

“Apa yang kita tidak mahu ketika ini ialah membebankan sistem kesihatan dan ekonomi kita yang sedang bergelut untuk pulih daripada kesan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.”

Cacar monyet adalah sejenis penyakit yang berasal dari Afrika yang biasanya sembuh dengan sendirinya.

Ia dikesan menular di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Semalam, kementerian kesihatan berkata pihaknya masih belum menerima sebarang aduan jangkitan cacar monyet dalam negara walaupun tular sebuah video mengenainya.

Bagaimanapun, Baljit berkata walaupun pakar kesihatan menasihatkan mereka yang melakukan perjalanan ke luar negara mengambil vaksin cacar air yang dilaporkan berkesan bagi mengelak jangkitan cacar monyet, namun tidak ada sebarang pengumuman apakah bekalan vaksin itu cukup di hospital dalam negara.

“Walaupun dilaporkan cacar monyet jarang membawa maut kepada manusia, namun Malaysia tidak boleh buang masa dalam memberikan peringatan dan apa-apa sekatan bagi mengekang penularannya,” kata Baljit dalam sebuah kenyataan, memberi amaran ia mungkin boleh menyebabkan “satu lagi situasi yang buruk”.